Mahfuz Omar
Mahfuz Omar
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Pimpinan Perikatan Nasional (PN) diminta agar tidak bermain polemik untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan semata-mata untuk menyedapkan hati penyokong.

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar, berkata keadaan itu hanya boleh mencetuskan ketidakstabilan politik seterusnya boleh menjejaskan keyakinan pelabur terhadap negara.

"Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor saya kira akan terus memainkan polemik demikian untuk terus membina keyakinan rakyat bahawa kerajaan persekutuan akan berubah.

"Walaupun dia tahu ada kenyataan oleh pelbagai pihak seperti parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Sarawak, Umno tak mungkin akan berlaku (pertukaran kerajaan).

"Terpulang kepada dia nak seronok, khayal untuk teruskan dengan memainkan isu ini untuk sedapkan hati penyokong," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Muhammad Sanusi bahawa wujud rancangan untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan menerusi proses demokrasi berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah berkata kenyataan Muhammad Sanusi yang mengganggu gugat kerajaan hari ini adalah tidak bertanggungjawab.

Katanya, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu hanya melihat perkara itu untuk kepentingan politik dan bukannya kepentingan ekonomi.

"Nasihat saya kepada dia hentikan main politik macam ni, lebih baik fokus bangunkan negeri, majukan ekonomi negeri, tingkatkan pendapatan rakyat.

"Patutnya tahun ini semua ahli politik kukuhkan perpaduan untuk pacu pembangunan negara," katanya.

Mahfuz berkata sebagai seorang menteri besar, Sanusi harus tahu batasnya untuk bermain politik.

"Mungkin dia hanya fikir nak selamatkan jawatan dia sebagai Menteri Besar untuk Pilihan Raya Umum (PRU) nanti tapi lambat lagi. Tunggulah 2026 atau 2027," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2024 @ 1:43 PM