Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan, pada sessi taklimat di Menara Kembar   Bank Rakyat. FOTO FATHIL ASRI
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan, pada sessi taklimat di Menara Kembar Bank Rakyat. FOTO FATHIL ASRI
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Usaha 'jalan belakang' untuk menumbangkan kerajaan akan mengheret rakyat dalam situasi politik dan ekonomi yang tidak menentu serta tiada pengakhiran.

Timbalan Ketua Penerangan PKR (2) Datuk R Ramanan berkata, pihak berkenaan seharusnya menunggu giliran untuk membentuk kerajaan melalui pilihan raya seterusnya bagi mendapatkan rakyat mandat.

Menurutnya, beliau yakin kerajaan mampu memulihkan ekonomi meskipun ia mengambil sedikit masa namun ia akan menjadi sukar sekiranya ada pihak tidak bertanggungjawab yang terus bermain isu politik.

"Nak tumbangkan kerajaan tunggulah pilihan raya akan datang. Kalau kita tumbang sini tumbang sana akhirnya kita tumbangkan rakyat. Rakyat yang akan merasai kesan daripada keputusan itu (menumbangkan kerajaan sedia ada)," katanya selepas melakukan lawatan dan sesi taklimat khas ke Bank Rakyat, di sini, hari ini.

Ramanan mengulas cubaan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Langkah Dubai.

Berhubung laporan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan wujud rancangan di pihak Perikatan Nasional (PN) untuk menumbangkan kerajaan, Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, perkara itu tidak perlu dibimbangkan.

"(Muhammad) Sanusi ini keliru. Mula-mula dia cakap tiada Langkah Dubai nak buat langkah Chow Kit itu yang saya baca. Yang (bercakap) mahu tumbangkan, langkah (gerakan) ini Sanusi (jadi) kita tiada apa yang nak bimbang sebab dia keliru, dia tak faham apa yang berlaku.

"Cukuplah bermain politik, harap pihak pembangkang pergi bekerja sikit. Sanusi ada Kedah suruh dia jaga Kedah tak payah jaga Dubai, Chow Kit semua," katanya.

Terdahulu Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan menerima laporan risikan berkaitan isu berkenaan namun beliau menegaskan ia tidak memberi kesan sebaliknya Kerajaan Perpaduan kekal dengan sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Anwar juga sebelum ini menyifatkan 'Langkah Dubai' tidak memberi kesan kepada kestabilan Kerajaan Perpaduan dan kekal fokus menerajui agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat dan negara.

Semalam media melaporkan, Muhammad Sanusi mengesahkan wujud rancangan di pihak PN untuk menumbangkan Kerajaan Persekutuan menerusi proses demokrasi berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau dilaporkan berkata, langkah itu dirangka berdasarkan kelompongan Akta Antilompat Parti yang digunakan kerajaan untuk menarik sokongan lima Ahli Parlimen PN.

Menurutnya, kelompongan dalam Akta Antilompat Parti yang dimanfaatkan Kerajaan Perpaduan akan digunakan PN yang mahu mengambil langkah sama, namun memberi bayangan ia difikirkan bukan Langkah Dubai dan mungkin langkah Chow Kit atau lokasi lain kerana perkara itu mungkin dibincang di Kuala Lumpur atau lokasi lain dan menyifatkan Dubai itu 'dummy' saja.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2024 @ 3:20 PM