Datuk Abdul Razak Abdul Rahman menyampaikan anugerah kepada penyanyi lagenda, Datuk Andre Goh yang menerima Anugerah Jasa Seni (Irama Malaysia) sempena Anugerah Seni Budaya Melaka, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Datuk Abdul Razak Abdul Rahman menyampaikan anugerah kepada penyanyi lagenda, Datuk Andre Goh yang menerima Anugerah Jasa Seni (Irama Malaysia) sempena Anugerah Seni Budaya Melaka, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


Ayer Keroh: Melaka dipilih sebagai tuan rumah Hari Pelancongan Dunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2025 mewakili Malaysia selepas Pertubuhan Pelancongan Sedunia (UNWTO) sepakat memilih negara ini sebagai lokasi penganjuran program berprestij itu.

EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, berkata seramai 155 ketua negara serta wakil mereka akan berkampung di Melaka bagi menjayakan acara yang diadakan secara tahunan itu.

Katanya, ini adalah kali pertama Malaysia dipilih sebagai tuan rumah sambutan itu dan sudah pasti Melaka bersedia untuk mewakili negara sebagai lokasi penganjurannya.

"Melaka terpilih mungkin disebabkan hubungan baik kerajaan negeri dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) apatah lagi komitmen kita terhadap sektor pelancongan di negara ini sangat baik sekali gus membolehkan pihak kementerian memberi keutamaan kepada Melaka.

"Saya berterima kasih kepada MOTAC atas pemilihan ini dan kami berazam untuk menjadi tuan rumah terbaik dalam penganjuran WTD dan WTC itu kelak," katanya selepas menyampaikan Anugerah Seni Budaya Melaka di Hotel Seri Malaysia, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pengukuhan Seni Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Suhaimi Abdul Rahim dan Pengarah JKKN negeri, Ezlina Alias.

Hari Pelancongan Sedunia 2025 dijadual berlangsung pada 27 September 2025, bertemakan `Tourism and Sustainable Transformation'.

Penganjuran itu bertujuan memupuk kesedaran di kalangan masyarakat antarabangsa mengenai kepentingan pelancongan dan nilai sosial, budaya, politik dan ekonomi sejagat.

Pada Perhimpunan Agung UNWTO Ke-25 di Samarkand, Uzbekistan pada 16 hingga 20 Oktober lalu, Malaysia terpilih sebagai tuan Hari Pelancongan Sedunia 2025.

MOTAC kemudiannya menamakan Melaka sebagai lokasi penganjuran program berkenaan.

Mengulas lanjut, Abd Razak berkata, WTD dan WTC 2025 yang diadakan serentak selama seminggu di Melaka itu adalah kesinambungan kepada penganjuran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), tahun depan.

Katanya, ia sekali gus dapat merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri Hang Tuah itu.

"Saya harap TMM2024 menjadi penanda aras untuk kita melihat keperluan yang boleh ditambah baik untuk dilaksanakan pada WTD dan WTD 2025 kelak.

"Justeru, saya bagi pihak kerajaan negeri berterima kasih kepada MOTAC yang menamakan Melaka sebagai tuan rumah mewakili Malaysia dan pada masa sama, kita berbangga apabila Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing mengumumkan nama Melaka pada Perhimpunan Agung UNWTO yang diadakan di Samarkand, minggu lalu.

"Ia satu pengiktirafan yang besar buat rakyat negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2023 @ 7:38 PM