Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Seorang datuk didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap cucu perempuannya yang berusia 15 tahun, empat bulan lalu.

Tertuduh, 70, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, warga emas itu didakwa sebagai seorang yang mempunyai hubungan amanah iaitu datuk, secara sengaja melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa ketika itu berusia 15 tahun tujuh bulan bagi tujuan seksual di sebuah kediaman di Brickfields dekat sini, antara 6 pagi sehingga 9 malam, pada pertengahan Ogos tahun ini.

Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta sebagai tambahan hukuman bagi Seksyen 16(1) itu iaitu boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan boleh juga dihukum sebatan tidak kurang dua sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub menawarkan jaminan RM30,000 bagi tiga pertuduhan terhadap tertuduh berserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah dengan alasan dia tidak bekerja serta ditanggung oleh anaknya.

Siti Aminah membenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan dan menetapkan 29 Januari depan untuk sebutan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2023 @ 12:27 PM