Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Peningkatan kes influenza (ILI) dan jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) di kalangan kanak-kanak di negeri ini, menyebabkan bilangan pesakit di wad kanak-kanak di hospital awam di Johor bertambah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon, berkata ia berikutan Johor mencatatkan peningkatan lima peratus kadar kes ILI dan URTI di kalangan kanak-kanak yang memerlukan mereka mendapat rawatan di hospital.

Bagaimanapun, katanya, kadar penggunaan katil di semua wad hospital awam di negeri ini masih terkawal dengan kadar 76 peratus, pada masa ini.

Beliau berkata, ia peningkatan empat peratus berbanding hanya 72 peratus kadar penggunaan katil di semua wad hospital awam negeri ini bagi minggu epid 27.

"Ketika ini wad kanak-kanak di semua 13 hospital awam di Johor mencatatkan sedikit kesesakan berikutan peningkatan lima peratus kes jangkitan ILI dan URTI di negeri ini.

"Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) sedang mengumpulkan data terbaharu situasi terkini di wad kanak-kanak negeri ini.

"Namun kadar penggunaan katil di semua wad hospital di negeri ini termasuk unit rawatan rapi (ICU) masih terkawal kerana ia berada pada kadar 76 peratus daripada jumlah 5,307 katil yang ada.

"Peningkatan penggunaan katil semua wad di Johor disumbangkan gabungan faktor peningkatan sedikit kes Covid-19 selain peningkatan kes jangkitan ILI dan URTI," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama JKNJ di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Ir Mohamad Fazli Mohamad Salleh dan Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu.

Dalam pada itu, Tian Soon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng, berkata JKNJ tetap mengambil langkah berjaga-jaga berhubung peningkatan kadar penggunaan katil di hospital awam negeri ini bagi membolehkan persediaan dilakukan jika gelombang baharu Covid-19 berlaku.

"JKNJ mempunyai pengalaman menangani peningkatan kadar penggunaan katil di di hospital negeri ini ketika pandemik memuncak tahun lalu dan akan mengambil tindakan lanjut jika keadaan memerlukan," katanya.

Dalam pada itu, Tian Soon berkata, jumlah kes baharu Covid-19 yang dilaporkan di negeri ini adalah sebanyak 542 kes, antara 10 Julai sehingga Sabtu lalu.

Katanya, jumlah kes Covid-19 itu mencatatkan peningkatan sebanyak 5.7 peratus berbanding minggu epid 27 (ME27).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2022 @ 3:16 PM