GAMBAR hiasan.FOTO Arkib BERNAMA
GAMBAR hiasan.FOTO Arkib BERNAMA
Mohamed Farid Noh

Iskandar Puteri: Johor mencatatkan peningkatan kes kesihatan mental serta gangguan emosi membabitkan lebih 20 peratus sejak penularan Covid-19 tiga tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon berkata perkembangan itu cukup membimbangkan dengan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) sedang memantau isu berkenaan.

"Tahun lalu, JKNK merekodkan sebanyak 28 peratus kes kesihatan mental serta gangguan emosi dikesan di negeri ini.

"Ia berbanding hanya 21 peratus kes sama tahun lalu, manakala pada 2020 kes kesihatan mental dan gangguan emosi juga berada pada tahap tinggi iaitu 28 peratus.

"Kita mengesan trend peningkatan ini berlaku selepas penularan wabak Covid-19 pada 2020. Kita sebut peningkatan kerana kes kesihatan mental dan gangguan emosi hanya mencatatkan antara 11 hingga 12 peratus sahaja sebelum 2020," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soalan lisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, hari ini.

Terdahulu, Selamat Takim (BN-Sungai Balang) ingin tahu kes kesihatan mental dan gangguan emosi yang direkodkan di negeri ini.

Dalam pada itu, Tian Soon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng, berkata dari segi saringan kes kesihatan mental dan gangguan emosi pula ia menunjukkan peningkatan ketara.

Katanya, seramai 57,855 pesakit kes berkenaan disaring, tahun lalu.

"Ia berbanding hanya 35,951 pada 2021 dan 37,128 pada 2020 ketika Covid-19 mula menular," katanya.

Beliau berkata, isu masalah kesihatan mental dan gangguan emosi perlu ditangani secara holistik dengan punca kepada perubahan emosi ini perlu dikenal pasti dan ditangani.

Katanya, ia supaya gangguan emosi tidak berpanjangan dan berakhir dengan penyakit mental.

"Antara gangguan emosi yang dikenal pasti adalah kehilangan pekerjaan dan isu kewangan. JKNJ menyediakan perkhidmatan untuk membantu pesakit beradaptasi dengan situasi baru dan bagaimana untuk menghadapi kecelaruan emosi.

"Akan tetapi, punca kepada gangguan emosi ini memerlukan pembabitan pelbagai agensi yang berkepentingan," katanya.

Beliau berkata, JKNJ menyediakan sistem saringan minda sihat atas talian iaitu eDASS untuk penduduk negeri ini melaksanakan saringankesihatan mental kendiri melalui Sistem Saringan Minda Sihat atau QR DASS

"Orang awam yang menjawab saringan akan mendapat jawapan serta merta dan saranan intervensi seterusnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 1:33 PM