FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Johor merekodkan enam kes jangkitan HIV baharu yang membabitkan remaja berusia antara 13 hingga 19 tahun, sehingga Minggu Epid (ME) ke 40, tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon, berkata jumlah itu adalah empat peratus daripada sejumlah 157 kes jangkitan HIV baharu yang direkodkan negeri itu.

"Sebanyak 157 kes jangkitan HIV baharu dikesan di Johor dengan kadar 3.8 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

"Daripada jumlah itu, terdapat enam kes HIV baharu yang membabitkan remaja berusia antara 13

hingga 19 tahun.

"Sebanyak 86 kes (55 peratus) HIV baharu yang dilaporkan adalah individu berusia antara 20 hingga 29 tahun manakala 47 kes jangkitan HIV baharu (30 peratus) membabitkan individu berusia antara 30 hingga 39 tahun.

"Sebanyak 13 kes (lapan peratus) HIV baharu membabitkan individu berusia 40 hingga 49 tahun dan lima lagi kes (tiga peratus) membabitkan individu berusia 50 tahun ke atas," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tian Soon berkata, daripada 157 kes HIV baharu itu, sebanyak 149 kes (95 peratus) membabitkan lelaki dan lapan kes (lima peratus) adalah membabitkan wanita.

"Daripada keseluruhan 157 kes HIV baharu yang dilaporkan sehingga Minggu Epid 40/2023, didapati 110 kes (70 peratus) faktor penyumbangnya adalah melalui hubungan homoseksual/biseksual.

"Manakala 47 kes lagi (30 peratus) faktor jangkitannya adalah melalui hubungan heteroseksual," katanya.

Beliau berkata, 138 daripada 157 kes baharu jangkitan HIV (88 peratus) telah memulakan rawatan Antiretroviral.

Bagaimanapun katanya, baki 19 kes (12 peratus) masih dalam pemantauan dan masih belum memulakan rawatan.

Tian Soon berkata, kumulatif kes HIV baharu yang dilaporkan mengikut daerah adalah membabitkan Johor Bahru (87 kes, 55 peratus), Kluang (15 kes, 10 peratus ) dan Batu Pahat (12 kes, lapan peratus).

"Segamat pula 10 kes atau enam peratus; Kota Tinggi (10 kes, enam peratus); Kulai (sembilan kes,

enam peratus), Muar (lapan kes, lima peratus); Pontian (tiga kes, dua peratus) manakala Tangkak dan Mersing dengan satu kes atau satu peratus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 1:54 PM