Ling Tian Soon
Ling Tian Soon
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Johor mencatatkan peningkatan kes wabak jangkitan saluran pernafasan, Influenza-likeillness (ILI) dan Upper Respiratory Tract Illness (URTI), sebanyak 70.9 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon, berkata peningkatan kes itu direkodkan sehingga Minggu Epidemiologi (ME) 25 tahun ini.

"Sebanyak 952 kes jangkitan saluran pernafasan dilaporkan sehingga ME 25/2022, iaitu peningkatan sebanyak 70.9 peratus. Ia berbanding hanya 557 kes pada tempoh ME yang sama bagi tahun lalu.

"Bilangan kluster wabak salur pernafasan yang dilaporkan juga menunjukkan peningkatan, iaitu sebanyak 11 kluster dilaporkan sehingga ME 25/2022, berbanding dengan tujuh kluster pada tempoh sama tahun lalu.

"Kebanyakan kluster yang dilaporkan adalah membabitkan institusi pendidikan (91 peratus)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Tian Soon berkata, kes ILI dan URTI adalah jangkitan biasa yang berlaku tanpa musim di negara ini sepanjang tahun dan hanya memerlukan pemantauan dan pengasingan diri.

"Pemantauan yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) terhadap jangkitan ILI dan URTI, mendapati situasi masih terkawal walaupun terdapat beberapa kluster membabitkan sekolah berasrama dikesan," katanya.

Sehubungan itu, Tian Soon berkata, JKNJ menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah pencegahan termasuk mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun atau cecair sanitasi tangan.

"Amalkan etika batuk yang baik dengan menutup mulut dan hidung apabila batuk atau bersin, sama ada dengan menggunakan tisu atau penutup mulut dan hidung selain jarakkan diri dari individu yang bergejala, sekurang-kurangnya dalam jarak satu meter dan elakkan mengunjungi tempat tumpuan ramai jika bergejala.

"Digalakkan juga untuk mendapatkan pelalian vaksinasi influenza di fasiliti kesihatan swasta. JKNJ akan terus memantau situasi dan tren kejadian ILI dan URTI di Johor, serta bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi memastikan langkah kawalan dan pencegahan dijalankan dengan sewajarnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 7:48 PM