FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menafikan dakwaan tular yang pihaknya akan mengenakan tindakan terhadap pemandu pengangkutan awam yang membawa warga asing tanpa dokumen sah.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata, mesej tersebar di WhatsApp itu notis palsu yang dikeluarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Jabatan ini ingin menegaskan bahawa kita tidak mengenakan sebarang tindakan kepada pemandu-pemandu kenderaan awam yang tidak mengetahui status warga asing yang menggunakan perkhidmatan mereka.

"JIM sedia maklum bahawa pemandu tidak mempunyai kuasa dan tidak perlu dibebankan dengan pembuktian status penumpang yang mereka bawa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun katanya, JIM boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63, jika didapati dengan sengaja memberi perlindungan kepada mana-mana orang yang diketahui melanggar peruntukan akta itu.

"Dalam hal ini, JIM tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

"Pada masa sama, kita juga memohon supaya orang ramai tidak terpedaya dengan sebarang maklumat yang belum tentu kesahihannya," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan masyarakat.

"Sila layari portal rasmi dan akaun media sosial rasmi JIM untuk mendapatkan maklumat tepat serta terkini berkaitan jabatan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2023 @ 11:24 AM