Antara dokumen palsu yang ditemui dalam operasi JIM di tiga lokasi berasingan sekitar Kuala Lumpur semalam. FOTO Ihsan JIM
Antara dokumen palsu yang ditemui dalam operasi JIM di tiga lokasi berasingan sekitar Kuala Lumpur semalam. FOTO Ihsan JIM
Nurul Hidayah Bahaudin


JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sindiket pemalsuan pasport dan pas kerja warga asing dalam serbuan di tiga lokasi berasingan sekitar Kuala Lumpur semalam.

Ketua Pengarah JIM Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi bermula 11 pagi itu disertai 15 pegawai dari Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa JIM Putrajaya.

“Dalam serbuan pertama di Brickfields, kami menahan lelaki warga Bangladesh berusia 39 tahun.

“Pemeriksaan terhadap lelaki itu menemui sampul surat mengandungi empat pasport Bangladesh, enam pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan enam i-Kad dipercayai palsu.

“Hasil soal siasat terhadap lelaki itu mendedahkan dalang sebenar yang mengetuai sindiket terbabit iaitu lelaki warga Bangladesh dikenali ‘Mama Bangla’ berusia 25 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, sindiket itu dipercayai beroperasi sejak 2017 di sekitar ibu kota.

“Mama Bangla mengenakan bayaran RM200 untuk satu pasport palsu, RM200 untuk sekeping pelekat PLKS palsu dan RM50 untuk i-Kad serta Kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) palsu.

“Hasil maklumat, pasukan serbuan mengatur gerakan mengumpan Mama Bangla keluar melalui satu pertemuan di Jalan Munshi yang membawa kepada penahanan lelaki terbabit.

“Ketika ditahan, kami menemui dua pasport Bangladesh bersamanya.

“Hasil soal siasat Mama Bangla membawa pasukan serbuan ke lokasi ketiga iaitu di sebuah unit kondominium di Jalan Putramas di sini,” katanya.

Beliau berkata, hasil serbuan itu, pihaknya menemui 17 pasport warga asing serta enam pelekat PLKS palsu.

“Kami turut menemui peralatan untuk memproses dokumen palsu seperti komputer, mesin cetak, alat pengimbas dan lain-lain.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966, Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 56(1A)(c) dan Seksyen 55D akta sama. Kedua-dua lelaki itu ditahan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

“JIM memandang serius perkara ini kerana boleh menggugat kedaulatan dan keselamatan negara.

“Pada masa sama, kami akan terus memburu sindiket atau individu yang terbabit dengan aktiviti menyalahi undang-undang.

“Tindakan tegas akan dikenakan ke atas mereka yang didapati melanggar kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 atau Akta Pasport 1966,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 9:36 PM