Rakan sekerja membantu mengangkat mayat mangsa sebaik tiba ke Jabatan Forensik HTJ, Seremban. (Gambar kecil) Keadaan kereta mangsa yang terbabit dalam kemalangan petang hari ini. Foto Mohd Amin Jalil dna Ihsan PDRM
Rakan sekerja membantu mengangkat mayat mangsa sebaik tiba ke Jabatan Forensik HTJ, Seremban. (Gambar kecil) Keadaan kereta mangsa yang terbabit dalam kemalangan petang hari ini. Foto Mohd Amin Jalil dna Ihsan PDRM
Mohd Amin Jalil

Seremban: Penolong Akauntan di Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Negeri Sembilan maut selepas Perodua Myvi dipandunya bertembung dengan sebuah kereta lain di Jalan Bukit Putus dekat sini, petang hari ini.

Mangsa, Nurul Hayati Mohammad, 44, dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kuala Pilah dekat sini, sebaik selesai bertugas sebelum terbabit dalam kemalangan itu pada 6.23 petang.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Senawang Rudi Hartono Mohd Yasin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.36 petang sebelum bergegas ke lokasi.

"Setibanya di tempat kejadian, kami dapati terdapat seorang mangsa wanita tersepit di tempat duduk pemandu.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati wanita berkenaan meninggal dunia dan anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa.

"Siasatan mendapati kemalangan membabitkan kereta dipandu mangsa dan Perodua Axia yang dinaiki dua individu," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, mangsa datang dari arah Seremban menuju ke rumahnya di Kampung Kuala Rembang Panas Juasseh, Kuala Pilah, manakala Perodua Axia itu dari arah Kuala Pilah ke Seremban.

Beliau berkata, seorang wanita Melayu berusia 40-an yang memandu Perodua Axia hanya mengalami cedera ringan dan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun pula patah kaki.

"Mangsa yang maut dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) Seremban untuk bedah siasat," katanya.

Sementara itu, rakan sekerja mangsa, Jamilah Jamal, 46, ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik HTJ berkata, mangsa tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik sepanjang bertugas hari ini.

"Sepanjang saya mengenali arwah hampir 11 tahun, dia seorang kakitangan yang ceria dan periang serta suka menolong orang.

"Saya tidak sangka pertemuan kami pada 5.30 petang di pejabat adalah pertemuan terakhir sebelum dia maut dalam kemalangan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 10:53 PM