PENDUDUK, Suriyan Nuhang (kiri) menjawab soalan ditanya pembanci dalam program rumah ke rumah Program Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia (Banci Malaysia) 2020 di Kampung Balai, Bachok. FOTO Nor Amalina Alias
PENDUDUK, Suriyan Nuhang (kiri) menjawab soalan ditanya pembanci dalam program rumah ke rumah Program Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia (Banci Malaysia) 2020 di Kampung Balai, Bachok. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias
am@hmetro.com.my

Bachok: Kelantan muncul negeri terawal mampu menyiapkan Program Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia (Banci Malaysia) 2020 apabila 74 peratus penduduk negeri itu sudah dibanci sehingga kini.

Angka berkenaan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang memaklumkan seramai 1.4 juta daripada 1.9 juta rakyat negeri ini sudah menjalani kaji selidik itu.

Timbalan Ketua Perangkawan Malaysia (Program Sosial dan Pembangunan Teknikal) Nazaria Baharudin berkata, bancian membabitkan 419,000 tempat kediaman.

Katanya, kawasan meliputi jajahan kecil seperti Lojing, Jeli, Tanah Merah, Tumpat, Pasir Puteh dan Machang sudah selesai 100 peratus operasi pembancian.

"Manakala bagi jajahan lain iaitu Kota Bharu (98%), Gua Musang (98%), Kuala Krai (97%), Pasir Mas (88%) dan Bachok (81%) akan selesai sepenuhnya kerja-kerja pembancian di lapangan pada penghujung Mei ini.

"Ini menjadikan Kelantan antara negeri terawal yang akan selesai operasi Banci Malaysia 2020, selain Johor dan Perak," katanya ketika ditemui dalam program banci di Kampung Balai, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Kelantan Zuraidy Zainal Abidin.

Nazaria yang juga Timbalan Pesuruhjaya Banci Malaysia 2020 berkata, kejayaan Kelantan menyiapkan program banci lebih awal kerana penduduknya mudah memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat diperlukan.

Katanya, sehingga kini, DOSM sudah membanci 17.7 juta daripada 32.7 juta anggaran penduduk di seluruh Malaysia pada tahun lalu.

"Ini termasuk 10 juta penduduk yang menjalani bancian atas talian melalui e-census apabila negara dilanda pandemik Covid-19," katanya.

Katanya, pihaknya turut menambah bilangan pembanci daripada 7,000 kepada 9,000 orang bagi mempercepatkan urusan bancian sebelum 30 Jun ini.

"Selain mendapat surat kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN), kita juga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti pembanci memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan berada dalam keadaan sihat ketika bertugas," katanya.

Katanya, hasil bancian penduduk juga mendapati lebih sejuta warga asing menduduki negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 5:57 PM