AHMAD, gambar fail. FOTO Nur Aisyah Mazalan
AHMAD, gambar fail. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh


Pontian: Pemimpin parti komponen serta gabungan Kerajaan Perpaduan dinasihatkan supaya lebih berhati-hati serta tidak sentiasa mengguris sensitiviti penduduk Bumiputera negara ini dengan cadangan bersifat perkauman.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kenyataan demi kenyataan berbaur perkauman yang dicetuskan pimpinan DAP amat berbahaya bukan sahaja kepada sensitiviti rakyat negara ini malah keharmonian masyarakat.

Ahmad turut mempersoalkan sama ada kenyataan kontroversi yang dikeluarkan beberapa pimpinan DAP itu sengaja dibuat bagi melihat dan mengukur reaksi Bumiputera atau menguji tahap kesabaran golongan itu.

Katanya, beberapa kenyataan kontroversi pimpinan DAP itu bermula dengan cadangan Lim Kit Sing berkenaan Perdana Menteri bukan Melayu; Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai (pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan); Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham (pakar bukan Islam dalam jawatankuasa Syariah) dan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming (kampung baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco).

"Sudah empat pimpinan DAP keluarkan kenyataan kontroversi, kenapa mereka tak faham-faham. Maka nak fahamkan mereka, saya akan berikan data terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2023 membabitkan komposisi kaum negara ini iaitu Bumiputera sebanyak 70.1 peratus; Cina (22.6 peratus); India (6.6 peratus dan lain-lain (0.7 peratus).

"Jangan nak mengguris hati 70.1 peratus itu, ia amat bahaya," katanya pada sidang media selepas program pertemuan dengan Ketua-ketua Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pontian di sini, hari ini.

Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, baru-baru ini mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah perkampungan itu yang diasaskan sejak 76 tahun lalu.

Pada Jun lalu, Kor Ming juga dilaporkan mencalonkan tujuh kampung baru di Pulau Pinang, Selangor, Perak, Melaka dan Johor sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ketua Umno Bahagian Pontian dan Timbalan Pengerusi Umno Johor itu berharap supaya semua pemimpin pimpinan parti komponen dan gabungan Kerajaan Perpaduan supaya lebih cakna selepas ini.

"Sentiasa berhati-hati apabila membuat pengumuman atau kenyataan yang babitkan hubungan antara kaum kerana kesannya amat besar. Saya juga berharap Kabinet tidak meluluskan cadangan Kor Ming berhubung perkara itu.

"Apatah lagi segala kenyataan yang mereka sebut itu hanya akan menghakis sokongan orang Melayu terhadap Kerajaan Perpaduan dan Umno selain dijadikan peluru pembangkang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2024 @ 2:13 PM