GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Hampir 60,000 penuntut universiti awam (UA), politeknik dan kolej komuniti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta pelajar matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) layak mendapat bantuan subsidi RM300 pembelian tiket penerbangan menerusi FLYsiswa.

Kemudahan berupa baucar digital untuk tebusan bagi pembelian tiket penerbangan itu diberikan bagi laluan domestik antara Semenanjung dengan Sabah, Sarawak dan Labuan serta sebaliknya.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, sejak dilaksanakan 15 Ogos lalu dan sehingga 5 Disember, 50,096 pelajar didapati layak untuk mendapat bantuan subsidi FLYsiswa.

"Sebanyak 72 peratus daripada mereka yang layak telah pun mengemukakan permohonan baucar daripada syarikat-syarkat penerbangan.

"Maksudnya hampir 36,000 pelajar sudah mendapat baucar tersebut. Diharapkan penebusan 100 peratus sehingga penghujung tahun 31 Disember ini.

"Daripada jumlah ini, pelajar UA paling ramai mendapat manfaat adalah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan 7,791 pelajar diikuti Universiti Malaysia Sabah (6,280), Universiti Malaysia Sarawak (4,975), Universiti Pendidikan Sultan Idris (4,780) dan Universiti Malaya (2,267)," katanya dalam ucapan pada majlis Majlis Peluncuran FLYsiswa di Universiti Malaya (UM), di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Loke berkata, dalam perbualannya dengan penuntut yang perlu merentasi Laut China Selatan untuk menimba ilmu, satu perkara yang sering dibangkitkan adalah kos pengangkutan.

"Saya kagum dan bangga melihat kesungguhan pelajar yang sanggup merantau jauh demi menimba ilmu.

"Walaupun perlu jauh dari keluarga, namun mereka sanggup berkorban untuk menghargai peluang dalam melanjutkan penggajian ke menara gading.

Bagi mahasiswa-mahasiswi ini, tiada mod pengangkutan selain kapal terbang yang mengikatkan Semenanjung dengan Sabah, Sarawak dan Labuan," katanya.

Beliau berkata, bagi isu harga tambang penerbangan, pemulihan jumlah penumpang sudah mencapai lebih 100 peratus setakat April 2023, berbanding zaman pra-pandemik pada April 2019.

"Permintaan yang jauh melangkaui penawaran telah menjejaskan, sudah tentu menaikkan harga tambang.

"Kerajaan Perpaduan kini sedang melaksanakan pelbagai langkah untuk menggalakkan penambahan kapasiti penerbangan disamping memperkenalkan inisiatif seperti FLYsiswa untuk meringankan beban kos perjalanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2023 @ 2:32 PM