ANTHONY Loke (tengah) ketika Pengumuman Penerbangan Lewat Malam dengan Tambang Rendah Sempena Tahun Baharu Cina di Ibu Pejabat AirAsia RedQ Sepang, hari ini. FOTO Noor Atiqah Sulaiman.
ANTHONY Loke (tengah) ketika Pengumuman Penerbangan Lewat Malam dengan Tambang Rendah Sempena Tahun Baharu Cina di Ibu Pejabat AirAsia RedQ Sepang, hari ini. FOTO Noor Atiqah Sulaiman.
Noor Atiqah Sulaiman


SYARIKAT penerbangan tambah rendah, AirAsia menawarkan penerbangan lewat malam dengan tambang rendah tetap bagi memenuhi permintaan pelanggan antara 21 hingga 31 Januari ini sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Tambang ditawarkan syarikat berkenaan kepada pelanggan bermula dari RM149 bagi laluan Kuala Lumpur ke Sibu, Bintulu dan Miri, Sarawak serta laluan Johor Baharu ke Sibu.

Selain itu, kadar tambang RM169 pula dikenakan bagi laluan sehala penerbangan dari Kuala Lumpur ke dua destinasi sama ada Sandakan atau Tawau, Sabah.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya berbesar hati atas inisiatif AirAsia membantu rakyat pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.

Beliau mengakui sebelum ini banyak menerima maklum balas berhubung harga tiket penerbangan mahal terutama ke Sabah dan Sarawak.

“Saya terima banyak maklum balas daripada masyarakat, kebanyakan yang menetap di Kuala Lumpur terutama pelajar tidak dapat pulang ke Sabah atau Sarawak disebabkan harga tiket mahal.

“Mereka tidak seperti penduduk semenanjung kerana mempunyai banyak alternatif lain untuk pulang ke kampung masing-masing.

“Penetapan harga tiket rendah ini sangat membantu terutama kepada mereka di Sabah dan Sarawak,” katanya sempena Pengumuman Penerbangan Lewat Malam dengan Tambang Rendah Sempena Tahun Baharu Cina di ibu pejabat AirAsia RedQ di Sepang, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, ini bukan kali pertama pihaknya menawarkan penerbangan lewat malam seumpama itu.

Beliau berkata, pengumuman itu sebahagian daripada usaha Kemakmuran Bersama AirAsia yang diperjuangkan sejak dulu lagi.

“Kami sangat menghargai maklum balas daripada pelanggan yang mahu tambang rendah ke Sabah dan Sarawak sempena Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

“Justeru kamu berbesar hati menambah penerbangan lewat malam ini dengan 12,960 tempat duduk untuk penerbangan tambang rendah di beberapa bandar terpilih di Sabah dan Sarawak.

“Selain itu, AirAsia turut menawarkan 65,826 tempat duduk tambahan untuk laluan popular di seluruh Malaysia dan Singapura.

“Sama ada pelanggan pulang bagi meraikan perayaan atau bercuti bersama keluarga, kami berharap penerbangan tambahan ini akan memeriahkan lagi perayaan mereka,” katanya.

Penumpang yang melakukan perjalanan sepanjang tempoh berkenaan dinasihatkan untuk tiba lebih awal ke lapangan terbang kerana kesesakan dijangka akan berlaku di pemeriksaan keselamatan dan kaunter daftar masuk.

Selain itu, mereka dinasihatkan mendaftar masuk secara dalam talian dari 14 hari hingga sejam sebelum waktu pelepasan untuk semua penerbangan AirAsia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 2:03 PM