ANTHONY Loke beramah mesra bersama para penumpang ketika hadir pada Majlis Pelepasan Pesawat Tambahan Khas AirAsia sempena Tahun Baharu Cina di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).
 FOTO BERNAMA
ANTHONY Loke beramah mesra bersama para penumpang ketika hadir pada Majlis Pelepasan Pesawat Tambahan Khas AirAsia sempena Tahun Baharu Cina di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).
 FOTO BERNAMA
BERNAMA

Sepang: Kementerian Pengangkutan (MOT) mahu syarikat penerbangan menumpukan aspek operasi bagi mengelak berlakunya kelewatan penerbangan.

Menterinya Anthony Loke berkata, beliau sudah mengadakan perbincangan dengan syarikat penerbangan tambang rendah bagi mencari penyelesaian isu terbabit.

"Memang saya tahu berkenaan rungutan orang ramai berhubung isu delay (kelewatan) penerbangan. Ini disebabkan pelbagai faktor seperti teknikal, cuaca dan sebagainya.

"Tetapi saya sudah minta syarikat penerbangan untuk beri fokus kepada operasi sebab kita harapkan ada suatu operasi lebih baik bagi kurangkan masalah kelewatan penerbangan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelepasan pesawat penerbangan tambahan istimewa AirAsia sempena Tahun Baharu Cina di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), malam tadi.

AirAsia sebelum ini mengumumkan 52 penerbangan tambahan pada tambang rendah tetap ke enam destinasi di Sabah dan Sarawak dari 17 hingga 30 Januari 2023 sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu menawarkan harga tiket RM199 sehala bagi penerbangan dari Kuala Lumpur atau Johor Bahru ke Kuching, Sibu, Bintulu serta Miri.

Loke berkata, sambutan menggalakkan diterima daripada orang ramai membuktikan inisiatif tersebut memberi manfaat kepada penumpang.

"Kita ingin beri peluang kepada rakyat Malaysia yang bekerja di Semenanjung untuk pulang menyambut perayaan di Sabah dan Sarawak. Bukan sahaja untuk Tahun Baharu Cina tetapi ia akan diteruskan untuk Hari Raya kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2023 @ 8:11 AM