Abdul Rahemang Taiming


POLIS menumpaskan sindiket pengedaran dadah terbesar di Sabah selepas menahan empat lelaki tempatan termasuk dua beradik dan merampas 104.3 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM5.2 juta dalam dua serbuan di dua lokasi berasingan di Tawau, tengah hari kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, kejayaan itu dicapai selepas polis mendapat maklumat berhubung aktiviti keempat-empat suspek sebelum merancang serbuan.

Beliau berkata, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah diketuai Asisten Superintendan Mohd Ramadzan membuat serbuan pertama di Jalan Haji Karim, belakang Mahkamah Tawau, pada 12.30 tengah hari.

“Sebelum serbuan, polis mengesan dua kereta Perodua Bezza dan Perodua Myvi dinaiki beberapa individu dipercayai sedang menjalankan urusan pengedaran dadah di lokasi terbabit.

“Seorang suspek lelaki dilihat mengangkat sebuah beg berwarna hitam yang dikeluarkan daripada but kereta Perodua Bezza sebelum dimasukkan ke dalam sebuah lagi kereta yang di dalamnya kelihatan dua lelaki Cina.

“Pasukan serbuan kemudian menahan dua lelaki terbabit manakala seorang suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditahan anggota polis yang mengepung kawasan berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, hari ini.

Beliau berkata, susulan tangkapan itu seorang lagi suspek lelaki disyaki terbabit dengan sendiket pengedaran dadah berkenaan turut ditahan ketika serbuan di hadapan sebuah premis serbaneka 24 jam di Jalan Bunga Off Jalan Masjid, pada 12.35 tengah hari.

Katanya, pemeriksaan terhadap beg berwarna hitam milik suspek didapati mengandungi 20 bungkusan plastik teh Cina iaitu masing-masing 17 bungkusan plastik teh jenama ‘Daguanyin’ berwarna emas dan tiga bungkusan plastik teh Cina jenama ‘Guanyingwang’ yang semuanya berisi dadah jenis Methamphetamine (syabu).

“Turut dirampas sebuah beg yang diletakkan di dalam but kereta Perodua Bezza mengandungi 30 bungkusan plastik teh Cina tiada jenama berwarna emas yang di dalamnya mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

“Pemeriksaan lanjut terhadap sebuah lagi kereta jenis Perodua Myvi turut menemui 20 bungkusan plastik yang sama (teh Cina) tiada jenama, lapan bungkusan teh Cina jenama Daguanyin, 22 bungkusan Guanyinwang berwarna hijau yang masing-masing diletakkan di bahagian bonet dan belakang kereta berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti sumber bekalan dadah terbabit dan tidak menolak kemungkinan rampasan dadah terbesar itu adalah untuk pasaran tempatan atau diseludup ke negara jiran.

Katanya, turut dirampas dua kenderaan yang disewa suspek untuk tujuan pengedaran dadah, selain menyita wang tunai RM850 dan $380 Dolar Singapura (RM1,152).

“Kami percaya rampasan dadah berkenaan ada kaitan dengan sindiket pengedaran dadah di Lahad Datu yang ditumpaskan baru-baru ini yang turut membabitkan suspek warga tempatan.

“Siasatan lanjut mendapati seorang suspek mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan dua kes dadah mengikut Seksyen 15(1)(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek yang berumur antara 31 hingga 39, masing-masing berasal dari Johor dan Selangor itu direman selama tujuh hari bermula semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 November 2018 @ 2:54 PM
MOHMAD (lima dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan dadah jenis syabu dalam bungkusan teh Cina yang dirampas dalam serbuan di Tawau. Hadir sama Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah (tiga dari kiri). FOTO Abdul Rahemang Taiming.
MOHMAD (lima dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan dadah jenis syabu dalam bungkusan teh Cina yang dirampas dalam serbuan di Tawau. Hadir sama Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah (tiga dari kiri). FOTO Abdul Rahemang Taiming.