Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad menyampaikan pembentangan Belanjawan 2024 Negeri Perak pada Mesyuarat Kelima, Tahun Pertama Dewan Negeri Ke-15 Perak Darul Ridzuan di Bangunan Perak Darul Ridzuan. FOTO L.MANIMARAN
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad menyampaikan pembentangan Belanjawan 2024 Negeri Perak pada Mesyuarat Kelima, Tahun Pertama Dewan Negeri Ke-15 Perak Darul Ridzuan di Bangunan Perak Darul Ridzuan. FOTO L.MANIMARAN
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Perak mengumumkan pembayaran bantuan khas kewangan (BKK) sebanyak dua bulan gaji kepada penjawat awam negeri.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia membabitkan semua penjawat awam terbabit termasuk Ex-Officio, guru lantikan negeri, Orang Besar Jajahan serta pekerja sambilan harian (PSH).

Menurutnya, BKK turut diberikan kepada ketua kampung bagi lantikan sebelum 15 Disember 2023 pada kadar RM400 seorang.

"Kerajaan negeri sentiasa menyanjung tinggi jasa dan komitmen penjawat awam sebagai tunjang dan tonggak kepada urusan pentadbiran kerajaan. "Sebagai menghargai dedikasi tidak berbelah-bahagi dalam memikul tugas yang diamanahkan, saya dengan ini mengumumkan pemberian BKK pada kadar dua bulan gaji.

"Mengetuai saf kepimpinan negeri, saya turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan hadapan yang cekal mencurahkan masa dan tenaga bagi membantu rakyat di beberapa kawasan yang diuji dengan bencana banjir," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Perak 2024 di persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam sidang media, Saarani berkata, Belanjawan Perak 2024 berjumlah RM1.35 bilion adalah tertinggi dalam sejarah negeri ini dengan memperuntukkan RM491 juta untuk belanja pembangunan manakala RM856 juta bagi belanja mengurus.

Beliau berkata, peruntukan bagi tujuan pembangunan meningkat sebanyak RM96 juta berbanding 2023 dengan kebanyakannya disalurkan bagi pembangunan infrastruktur dan inisiatif kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, beberapa inisiatif bantuan terus kepada rakyat dinaikkan termasuk penyediaan peruntukan RM384.1 juta untuk pelbagai program kesejahteraan rakyat dengan menjurus matlamat mengupayakan sara diri rakyat.

"Mengambil kira iklim ekonomi yang tidak menentu dan menekan kehidupan rakyat, kadar semasa bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bernilai RM300 akan dinaikkan kepada RM400 mulai Januari 2024.

"Selain itu, kerajaan negeri juga bersetuju bermula 2024, syarat kelayakan bantuan kewangan JKM akan mengguna pakai garis panduan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Makanan Isi Rumah RM1,198 berbanding RM1,169 pada masa ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2023 @ 1:03 PM