AZMI menunjukkan sawahnya yang digenangi air di Kampung Pulau Maharaja, Tunjang, Jitra.
AZMI menunjukkan sawahnya yang digenangi air di Kampung Pulau Maharaja, Tunjang, Jitra.
Noorazura Abdul Rahman


KUBANG PASU: Pesawah di Kampung Pulau Maharaja, Tunjang, Jitra, di sini buntu apabila kira-kira 30 hektar sawah mereka dilanda pelbagai masalah perparitan termasuk menjadi ‘bendang termenung’.

Masalah yang dikatakan berpunca daripada projek pembinaan saliran bagi membaik pulih sistem pengairan di kampung itu yang siap akhir tahun lalu menyebabkan mereka menanggung kerugian ribuan ringgit.

Pesawah, Azmi Mat Napiah, 57, berkata, keadaan itu menyebabkan dia sukar melakukan proses menabur dan menyulam benih, yang pastinya akan menyebabkan proses menuai hasil padi lambat.

“Ketika membuat sistem saliran di sini, pihak bertanggungjawab sini mungkin tidak mengkaji bentuk muka bumi dan struktur sedia ada terlebih dulu. Lubang air keluar masuk ditutup dan diganti dengan yang baharu tetapi di tempat tidak sesuai.

“Kira-kira enam pesawah dibelenggu masalah sama, mereka buat saluran tak mengambil kira kedudukan sawah sama ada rendah atau tinggi, jadi saluran yang dibuat menjadi sia-sia.

“Saya sendiri sudah banyak duit habis untuk membeli benih dan menabur, jika berlarutan saya akan tanggung kerugian tinggi,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, seorang lagi pesawah, Ahmad Hashim, 67, berkata, dia terpaksa mengepam air dari saliran yang dibina atau dikenali sebagai ‘koq U’ memandangkan kedudukan sawahnya lebih tinggi dari saliran terbabit.

PESAWAH menunjukkan saliran yang terpaksa dipecahkan untuk membolehkan air dibuang atau dimasukkan ke dalam petak sawah di Kampung Pulau Maharaja, Tunjang.
PESAWAH menunjukkan saliran yang terpaksa dipecahkan untuk membolehkan air dibuang atau dimasukkan ke dalam petak sawah di Kampung Pulau Maharaja, Tunjang.

Katanya, perkara itu bukan saja menambah beban pesawah dari segi wang ringgit tapi juga tenaga berikutan terpaksa sering turun ke sawah untuk melihat keadaan air.

“Ada bahagian saliran terpaksa ditutup dan dibuka oleh petani untuk memastikan air dapat masuk ke sawah, ia boleh menimbulkan ketegangan kerana petani terpaksa berebut air.

“Contohnya macam saya, apabila nak guna air terpaksa sekat dalam ‘koq’ (saliran) supaya air masuk dalam sawah saya, jika tak sekat cara tu sawah saya tak akan ada air, mungkin satu hari nanti saya terpaksa guna batu untuk tutup ‘koq’ di sini.

“Ini kerana sekurang-kurang sawah memerlukan air selama dua hingga ke tiga bulan sebaik saja selesai proses menabur benih, jika sawah kering, pokok padi tak akan tumbuh tapi jika air bergenang lama pula, benih akan mati,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 7:30 AM