GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kerajaan negeri mengumumkan bantuan khas kewangan sebanyak RM2,000 kepada penjawat awam negeri ini sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan dan sumbangan mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata bantuan itu membabitkan peruntukan berjumlah RM10.8 juta kepada 5,600 penjawat awam negeri.

Katanya, pembayaran bagi bantuan khas kewangan itu akan dibuat secara berperingkat pada

Disember 2023 dan bakinya pada Mac 2024.

"Penjawat awam negeri dan anggota pentadbiran negeri adalah tulang belakang sesebuah pentadbiran kerajaan.

"Kerajaan negeri menghargai dedikasi dan komitmen tidak berbelah bagi kakitangan awam dan pentadbiran negeri dalam menyokong dan melaksanakan setiap dasar, program dan projek yang dirancang demi mensejahterakan negeri Kedah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet 2024 di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Selain itu Muhammad Sanusi berkata bantuan khas sekali bayar juga akan diberikan kepada imam lantikan negeri, Pengerusi Majlis Ketua Kampung dan Setiausaha Majlis Ketua Kampung (MKK) pada Mac 2024 sebagai bantuan Aidilfitri.

"Kadar bantuan khas one-off ini akan ditentukan kelak," katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi ketika sidang media berkata bantuan kewangan kepada penjawat awam itu adalah yang tertinggi pernah diberikan.

"Bonus (bantuan kewangan) RM2,000 ini yang paling tinggi pernah bagi. Tahun lalu, (beri) RM1,000, tahun ini naik sekali ganda, 100 peratus naik.

"Saya ikut Kerajaan Persekutuan. (Kerajaan Persekutuan) janji RM2,000. Kesian pula kakitangan awam kerajaan negeri dapat sikit. Bagi samalah, saya ikut PMX (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 12:13 PM