GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kerajaan negeri Kedah mengumumkan bantuan khas Aidilfitri sebanyak RM200 kepada semua pengerusi dan setiausaha Majlis Ketua Kampung (MKK) serta pegawai masjid di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bantuan membabitkan peruntukkan sebanyak RM784,800 itu akan dibayar terus ke akaun penerima pada 18 April ini.

"Bantuan ini membabitkan seramai 3,924 penerima yang terdiri daripada 772 pengerusi MKK, 766 setiausaha MKK dan 2,386 pegawai masjid iaitu imam, bilal dan siak akan menerima manfaat bantuan RM200 setiap seorang.

"Walaupun jumlahnya tidak besar, namun ia sedikit sebanyak diharap dapat membantu penerima untuk melakukan persiapan menyambut Aidilfitri seperti beli daging atau beras pulut nanti," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Kedah akan diadakan di kediaman rasmi beliau di Seri Mentaloon, di sini pada 27 April.

Katanya, rakyat Kedah dijemput hadir ke majlis itu yang akan bermula pada 11 pagi hingga 4 petang.

"Jemputlah datang, bawa keluarga dan sanak saudara. Kita sasarkan 50,000 pengunjung akan hadir, tapi biasanya lebih dari itu yang datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2023 @ 5:36 PM