Rosli Ilham


Chukai: Seorang guru dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kemaman di sini, hari ini, atas pertuduhan menghantar mesej dan memiliki gambar lucah serta melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar perempuannya.

Nor Azdi@Mohd Norazdil Farid Zahari, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas empat pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa berkomunikasi secara seksual dengan mangsa yang berusia 14 tahun melalui aplikasi WhatsApp pada 8 November, jam 6.39 petang

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa dibawah Seksyen 11(1) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 yang memperuntukan penjara maksimum tiga tahun.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di sebuah makmal di sekolah di daerah ini pada hari yang sama kira-kira jam 9.45 pagi.

Untuk itu tertuduh didakwa mengikut seksyen 14(d) akta yang sama yang memperuntukkan penjara maksima 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa berkomunikasi dengan mangsa melalui aplikasi WhatsApp dengan niat untuk melakukan hubungan dengan mangsa pada 4 November hingga 7 November tahun lalu kira-kira jam 6.50 petang hingga 7.14 malam.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 di bawah akta yang sama yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan boleh dikenakan sebat.

Manakala bagi pertuduhan keempat pula, tertuduh pada 14 november tahun lalu kira-kira jam 5 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman didakwa memiliki gambar pelajar itu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10 akta yang sama yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Azhani Azman manakala mahkamah menetapkan 19 Disember untuk sebutan semula kes.

Mahkamah membenarkan tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM17,000 bagi keempat-empat pertuduhan dengan seorang penjamin dan tertuduh membayar jaminan itu.

Selain itu mahkamah menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mendekati dan menggangu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga perbicaraan kes selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 5:17 PM
Nor Azdi@Mohd Norazdil Farid Zahari tidak mengaku menghantar mesej dan memiliki gambar lucah serta melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar perempuannya. FOTO Rosli Ilham.
Nor Azdi@Mohd Norazdil Farid Zahari tidak mengaku menghantar mesej dan memiliki gambar lucah serta melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar perempuannya. FOTO Rosli Ilham.