Tertuduh diiring anggota polis selepas Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman penjara dan sebat kerana melakukan amang seksual terhadap anak perempuannya berusia empat tahun. Foto Zatul Iffah Zolkiply
Tertuduh diiring anggota polis selepas Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman penjara dan sebat kerana melakukan amang seksual terhadap anak perempuannya berusia empat tahun. Foto Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


LELAKI dihukum penjara selama tujuh tahun dan dikenakan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana melakukan amang seksual terhadap anak perempuannya berusia empat tahun.

Selain itu, tertuduh berusia 33 tahun berkenaan turut diarahkan diletakkan di bawah pengawasan polis selama setahun mengikut Seksyen 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 sebaik selesai menjalani hukuman penjara.

Keputusan itu dibuat Hakim Wan Azimah Yaacob selepas tertuduh didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.

Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang ketika kejadian berusia empat tahun di sebuah rumah di Kuala Terengganu pada Julai tahun lalu.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 14(d), tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 16 akta sama, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan boleh dihukum tidak kurang daripada dua sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Fairuz Jusoh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 3:21 PM