NORZA  menyampaikan ucapan ketika perasmian Persidangan Media Sukan Kesatuan Penyiaran Asia Pasifik hari ini. FOTO Bernama
NORZA menyampaikan ucapan ketika perasmian Persidangan Media Sukan Kesatuan Penyiaran Asia Pasifik hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan memastikan dua wakil negara tampil dalam setiap kategori di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) selepas menyaksikan hanya satu wakil negara dalam setiap kategori layak ke temasya di Paris, Julai nanti.

Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata impian berkenaan belum tercapai justeru memerlukan komitmen semua pihak dalam usaha memastikan badminton terus menjadi penyumbang pingat terbesar buat negara di temasya itu.

"Kita punya sasaran untuk dapat dua wakil bagi setiap kategori masih belum tercapai. Apapun ia masih pencapaian membanggakan (satu wakil setiap kategori).

"Kalau boleh kita lipat gandakan dan memohon pihak kerajaan bantu terutamanya melalui program Road to Gold (RTG) supaya kita dapat realisasikan dua wakil di perseorangan lelaki dan wanita selain bagi kategori beregu (lelaki, wanita, campuran)," katanya selepas merasmikan Persidangan Media Sukan Kesatuan Penyiaran Asia Pasifik di sini hari ini.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengeluarkan senarai nama atlet layak ke Olimpik Paris 2024, menyaksikan lima wakil negara iaitu perseorangan lelaki Lee Zii Jia, Goh Jin Wei (perseorangan wanita), Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki) berjaya tersenarai menggalas cabaran pada temasya sukan yang akan berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Selain itu, turut sama dalam kontinjen negara beregu wanita Pearly tan-M Thinaah dan beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Sementara itu, Mohamad Norza yakin lima pemain yang membuat penampilan kali pertama di pentas Olimpik tidak berdepan masalah untuk menyerap tekanan.

Sepanjang penyertaan di pentas Olimpik sejak 1964, Malaysia meraih 13 pingat keseluruhan dengan sembilan daripadanya hadir menerusi sukan badminton (enam perak dan tiga gangsa).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2024 @ 9:24 PM