PROSES melupuskan barangan kes jenayah membabitkan nilai keseluruhan RM2.4 juta di Balai Polis Bandar Baru Bangi. FOTO Muhaamad Hafis Nawawi.
PROSES melupuskan barangan kes jenayah membabitkan nilai keseluruhan RM2.4 juta di Balai Polis Bandar Baru Bangi. FOTO Muhaamad Hafis Nawawi.
Muhaamad Hafis Nawawi


Bangi: Polis Kajang hari ini melupuskan barangan kes jenayah membabitkan nilai keseluruhan RM2.4 juta yang dilupuskan menggunakan kaedah e-waste dan jualan sisa besi serta pepejal.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pelaksanaan pelupusan barang kes ini adalah mengikut kaedah dan peraturan Perintah Tetap

Ketua Polis Negara (PTKPN D207) dan peruntukan undang-undang mengikut Seksyen 406A Kanun Prosedur Jenayah.

Menurutnya, ia membabitkan pelupusan sejumlah barang kes jenayah iaitu rokok atau minuman tidak bercukai, mesin perjudian dan mesin bitcoin pelbagai jenis, serta jenayah komersil membabitkan barang kes mesin komputer, telefon bimbit dan kad ATM bagi tempoh tahun 2021 hingga 2023.

"Selain itu turut diadakan sesi lelongan sembilan kenderaan barang kes yang tidak dituntut.

"Tindakan pelupusan barang kes kali ini membabitkan 193 kertas siasatan Bahagian Siasatan Jenayah serta 24 kertas siasatan dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang yang mana semua berjaya diselesaikan dengan tindakan pendakwaan dan pesalah dijatuhkan hukuman," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelupusan Barang Kes dan Lelongan Kenderaan IPD Kajang di Balai Polisi Bandar Baru Bangi, hari ini.

Mohd Zaid berkata, barang kes ini mendapat arahan pelupusan daripada pihak pendakwaraya serta diluluskan mahkamah yang meliputi Barang kes Op Dadu (perjudian) yang berjumlah 3,482 buah set mesin slot, komputer, komputer riba, telefon bimbit dengan jumlah nilai rampasan sebanyak RM212,500.

"Barang kes Op Kontraban (rokok minuman keras tidak bercukai) pula membabitkan rampasan 92,226 tin minuman keras bersama 843 botol arak serta 15,264 karton sebanyak RM1.45 juta.

"Barang kes Op Elektrik membabitkan sejumlah 765 buah mesin bitcoin dengan jumlah nilaian rampasan sebanyak RM180,000," katanya.

Beliau berkata, barang kes Op Merpati (calling centre scammer) membabitkan 127 unit set komputer / laptop, 898 telefon bimbit, 186 kad ATM, barang kes am dengan jumlah nilaian RM652,000.

"Hasil pemeriksaan jumlah nilaian keseluruhan pelupusan barang kes ini adalah dianggarkan lebih kurang RM2,494,500," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 11:59 AM