WAN Azlan dan Mohamed Redza Azhar melakukan simbolik pelupusan barang kes bernilai RM1.24 juta di IPD Subang Jaya. FOTO Suhanna Iskandar.
WAN Azlan dan Mohamed Redza Azhar melakukan simbolik pelupusan barang kes bernilai RM1.24 juta di IPD Subang Jaya. FOTO Suhanna Iskandar.
Suhanna Iskandar


Subang Jaya: Polis Subang Jaya hari ini melupuskan peralatan perjudian dan barangan lain yang dianggarkan bernilai RM1.24 juta.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, semua barangan itu membabitkan 179 kertas siasatan kes judi dan am yang diselesaikan antara 2020 hingga 2021 dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

"Bagi tempoh itu, kami merampas 1,078 set komputer, komputer riba dan telefon bimbit dianggarkan bernilai RM744,600 serta wang tunai RM27,807.

"Kami turut merampas pelbagai barang seludup membabitkan 1,479 arak dan 1,863 karton rokok dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM418,000 bagi tempoh sama.

"Selain itu, 113 mesin perlombongan mata wang digital (bitcoin) dianggarkan bernilai RM51,000 dirampas dalam Op Elektrik (bitcoin) dalam tempoh sama," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelupusan Barang Kes di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, di sini, hari ini.

Turut hadir Majistret Shah Alam Mohamed Redza Azhar Rezali dan Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Superintendan Mohd Fairus Jaafar.

Wan Azlan berkata, barangan rampasan itu dilupuskan menggunakan kaedah pemproses komponen sisa elektrik dan elektronik (e-waste) dan jualan sisa besi serta pepejal.

"Proses pelupusan dilakukan ini bukan sahaja menjimatkan wang tetapi juga mengatasi masalah kesihatan seperti pembiakan nyamuk (aedes) jika tidak diuruskan dengan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 7:02 PM