Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah (Tengah) bersama Timbalan Pendakwa Raya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kamarul Aris Kamaruddin melupuskan barang kes perjudian membabitkan 53 kertas siasatan. FOTO Hafidzul Hilmi
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah (Tengah) bersama Timbalan Pendakwa Raya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kamarul Aris Kamaruddin melupuskan barang kes perjudian membabitkan 53 kertas siasatan. FOTO Hafidzul Hilmi
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Sebanyak 1,813 peralatan perjudian bernilai RM38,000 membabitkan 53 kertas siasatan dilupuskan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, hari ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, semua kes berkenaan sudah selesai dan dijatuhkan hukuman.

"Barang kes yang dilupuskan adalah kes yang disiasat antara 2014 hingga 2020. Semua barang kes terdiri daripada 245 mesin komputer, 37 komputer riba, 311 telefon bimbit, 18 helaian kertas perjudian, 474 keping daun terup dan 728 buah mahjong.

"Keseluruhan barang perjudian yang dilupuskan dianggarkan bernilai RM38,000," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hadir sama menyaksikan pelupusan barang kes berkenaan ialah Timbalan Pendakwa Raya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kamarul Aris Kamaruddin.

Ashari berkata, permohonan pelupusan barang kes melalui Perintah Mahkamah sudah didaftarkan di dalam laman sesawang e-kehakiman di bawah Seksyen 407 (2) Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593), semalam.

"Permohonan itu diluluskan oleh Majistret Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, Aina Azahra Tun Ariffin.

"Pelupusan barang kes ini adalah peringkat kedua dilakukan pada tahun ini yang mana kali pertama dibuat membabitkan barang kes bagi 2010 hingga 2013," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 4:25 PM