Rahmat memandu sendiri 'steamroller' melenyek mesin bitcoin pada Majlis Pelupusan Barang Kes di IPD Iskandar Puteri, Johor Bahru, hari ini FOTO Mary Victoria Dass
Rahmat memandu sendiri 'steamroller' melenyek mesin bitcoin pada Majlis Pelupusan Barang Kes di IPD Iskandar Puteri, Johor Bahru, hari ini FOTO Mary Victoria Dass
Oleh Mary Victoria Dass


Iskandar Puteri: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri hari ini, melupuskan ribuan barang kes yang dirampas sejak 2012 sehingga Mac lalu, bernilai RM375,166.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, pelupusan barang kes sejak 11 tahun lalu itu membabitkan empat kategori barang kes iaitu mesin bitcoin, rampasan penyeludupan, barang judi dan barang am.

Beliau berkata, barang kes yang dilupuskan itu membabitkan 166 kertas siasatan yang selesai dan menerima arahan daripada

mahkamah untuk dilupuskan.

Menurutnya, bagi pelupusan barang kes am, ia membabitkan 27 kertas siasatan merangkumi sampel kimia, sampel forensik, senjata tajam, telefon bimbit serta pelbagai jenis barang lain dengan nilai keseluruhan RM1,720.

"Kita turut melupuskan ratusan mesin yang digunakan untuk 'menuai' bitcoin.

"Ia membabitkan enam kertas siasatan dengan nilai rampasan keseluruhan bernilai RM163,200," katanya pada sidang media di IPD Iskandar Puteri di sini.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Superintendan Ibrahim Mat Som dan Timbalan Pendakwa Raya Negeri Johor Muhammad Syafiq Mohd Ghazali.

Ariffin berkata, pihaknya turut melupuskan pelbagai barangan seludup seperti minuman keras dan rokok pelbagai jenama hasil rampasan bagi lapan kes yang direkodkan dengan nilai keseluruhan RM106,566.

"Turut dilupuskan pelbagai barangan rampasan kes perjudian seperti komputer, telefon bimbit dan lain-lain barang elektronik membabitkan 125 kertas siasatan berjumlah RM103,680.

"Pelupusan barang kes yang diadakan ini dapat menjimatkan ruang penyimpanan di stor barang kes.

"Kita juga akan mengambil tindakan drastik untuk penyelesaian kertas siasatan yang membabitkan barang kes dari masa ke semasa dan mengelakkan lambakan barang kes di stor IPD Iskandar Puteri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 2:07 PM