GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Lebih 11,000 metrik tan sampah dikutip oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di daerah ini sepanjang Ramadan.

Yang Dipertuanya, Rosnazli Amin berkata, sampah berkenaan dihasilkan penduduk yang dibuang di tong-tong sampah yang disediakan.

Menurutnya, peningkatan sampah atau sisa pepejal itu juga disebabkan ramai peniaga membuang sampah setiap hari terutama kulit kelapa dan sisa jualan mereka.

"Sampah yang dihasilkan setiap hari adalah antara 350 metrik tan sehingga 430 metrik tan. Penghasilan ini didorong oleh kewujudan ramai peniaga sama ada di bazar Ramadan atau di tepi jalan.

"Sisa yang tidak habis dibuang menyebabkan berlakunya peningkatan yang ketara. Selain itu, penduduk juga membuang sisa sampah pukal terutama perabot menyebabkan penghasilan sampah meningkat mendadak berbanding hari biasa yang kurang daripada 350 metrik tan.

"Kita jangka peningkatan ketara akan berlaku seminggu sebelum hari raya dan seminggu selepas Aidilfitri berikutan orang ramai mengadakan rumah terbuka," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya terpaksa menyewa lori swasta yang mempunyai keupayaan untuk mengangkut sampah besar ke tapak pelupusan.

Menurutnya, pihaknya juga menyewa tong sampah roro yang diletakkan di tujuh kawasan 'panas' termasuk bandar ini, Lundang, Guchil Bayam, Paya Rambai dan Padang Tembak.

"Kita harap penduduk tidak membuang sampah pukal ke dalam tong biasa kerana boleh merosakkan tong dan menjadikan kawasan pembuangan menjadi sesak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2023 @ 2:50 PM