AHMAD Samsuri (tengah) bertanyakan khabar kepada mangsa banjir semasa melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Chendering. FOTO Ghazali Kori
AHMAD Samsuri (tengah) bertanyakan khabar kepada mangsa banjir semasa melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Chendering. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Calon PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menganggap kenyataan yang menyifatkannya sebagai tamak kerana bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman sebagai pandangan peribadi.

Malah, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu enggan melayan sebaliknya mahu memberi fokus kepada kempen pilihan raya itu.

"Saya tak nak komen (isu tamak) cuma saya simpati dengan apa yang disebut itu tapi nak buat macam mana itu pandangan dia.

"Tamak sebenarnya kalau 32-0 (keputusan Pilihan Raya Negeri). Itu dikatakan tamak juga kerana ambil semua. Nak buat macam mana (pilihan) rakyat, jadi seolah-olah mempersalahkan rakyat pula, jadi saya rasa tak apa…biar dialah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Chendering di sini hari ini.

Semalam, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Said menyifatkan keputusan Ahmad Samsuri bertanding pada PRK Parlimen Kemaman disifatkan tamak kerana mahu memikul dua tugas besar dalam satu masa.

Ahmad yang juga Pengerusi UMNO Terengganu berkata, tugas Menteri Besar amat berat dan sukar untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang itu memberikan tumpuan sebagai Ahli Parlimen.

Katanya, Ahmad Samsuri bukan sahaja disifatkan sebagai tamak tetapi dia tidak sepatutnya bertanding dan memberi peluang itu kepada orang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 11:52 AM