Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (tengah) beramah mesra bersama penduduk semasa berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P040 Parlimen Kemaman di Kampung Geliga. FOTO GHAZALI KORI
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (tengah) beramah mesra bersama penduduk semasa berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P040 Parlimen Kemaman di Kampung Geliga. FOTO GHAZALI KORI
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: "Pemimpin Barisan Nasional (BN) tidak perlu 'ssettok' apabila saya terpilih sebagai calon bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman," kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ssettok dalam dialek Terengganu dan Kelantan membawa maksud terkejut.

Ahmad Samsuri berkata, pemilihannya sebagai calon tidak bermakna Pas ketandusan pemimpin, tetapi ia adalah amanah parti dan rakyat terutama pengundi di Parlimen Kemaman.

"Kalangan pimpinan tertinggi BN dan Pakatan Harapan (PH) terkejut sehingga menimbulkan perasaan tidak tenteram apabila saya dipilih sebagai calon.

"Keadaan tidak tenteram itulah menyebabkan ada pemimpin parti itu mencadangkan saya meletak jawatan sebagai Menteri Besar," katanya pada program sembang santai bersama Dr Sam, di sini, hari ini.

Khamis lalu, Ketua Penerangan Umno Datuk Seri Azalina Othman Said mencabar Ahmad Samsuri untuk meletak jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu.

Cabaran itu dilontarkan Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), susulan Ahmad Samsuri diumum sebagai calon Pas untuk bertanding pada PRK Kemaman, 2 Disember ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menitipkan pesanan kepada pemimpin BN dan PH termasuk di peringkat pusat serta negeri agar bertanding dalam suasana tenteram dan santai.

"Kepada rakan saya dalam BN dan PH, 'rileks' dan bertanding serta berkempenlah secara tenteram menghadapi PRK yang diadakan secara paksa," katanya.

Katanya, kesibukan sebagai Menteri Besar bukan penghalang untuk beliau terus menjaga amanah seluruh rakyat di Parlimen Kemaman.

"Kita akui keberhasilan pelbagai cukai diperolehi di daerah Kemaman adalah tertinggi jika dibandingkan dengan daerah lain di negeri ini.

"Hasil cukai diperolehi akan dimanfaatkan kepada semua lapisan masyarakat dan pengundi di Kemaman," katanya.

Pada PRK itu, Ahmad Samsuri akan berdepan dengan calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 2:18 PM