Abdul Hadi bersama barisan kepimpinan PN dan Ahmad Samsuri (dua kanan). FOTO GHAZALI KORI
Abdul Hadi bersama barisan kepimpinan PN dan Ahmad Samsuri (dua kanan). FOTO GHAZALI KORI
Zatul Iffah Zolkiply dan Baharom Bakar dan Zaid Salim


Chukai: Tiada keperluan calon PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meletak jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu bagi memberi fokus pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman yang bakal ditandinginya, 2 Disember depan.

Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ia menjadi perkara biasa dan tidak menjadi kesalahan dalam politik di Malaysia apabila ada Menteri Besar dan Ketua Menteri menjadi Ahli Parlimen pada masa yang sama.

Beliau berkata, Ahmad Samsuri juga tidak perlu melepaskan jawatannya itu sekiranya memenangi PRK kali ini kerana percaya Naib Presiden PAS itu mampu melaksanakan tugas dengan baik.

"Ada berapa menteri besar, ketua menteri jadi ahli parlimen (seperti Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan).

"Saya pun pernah jadi Menteri Besar (dan Ahli Parlimen), jadi ketua pembangkang…itu biasa (dan) tak salah bagi politik Malaysia ini.

"Jadi (Ahmad Samsuri) tak perlu letak jawatan (untuk beri tumpuan pada PRK)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pekarangan Dewan Berlian Utama Majlis Perbandaran Kemaman di sini hari ini.

Sementara itu, Ahmad Samsuri enggan melayan cabaran berkenaan sebaiknya mahu memberi tumpuan kepada PRK Kemaman.

"Tidak menjadi satu kesalahan dalam undang-undang negara kita seorang Menteri Besar jadi Ahli Parlimen.

"Sebenarnya dalam keadaan-keadaan tertentu banyak isu-isu negeri boleh dibawa secara terus ke peringkat pusat dan dewan rakyat, jadi itu hanya perlu diuruskan sahaja," katanya

Semalam, Ketua Penerangan Umno Datuk Seri Azalina Othman Said mencabar Ahmad Samsuri meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu bagi memberi fokus pada PRK yang bakal ditandinginya.

Pada penggal ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun serta Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow juga adalah dalam kalangan Ahli Parlimen.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 12:47 PM