INSAN yang terdidik dengan iman, ilmu dan nilai mampu membezakan jalan yang membawa kepada kemakmuran dan jalan membawa kepada perpecahan.
INSAN yang terdidik dengan iman, ilmu dan nilai mampu membezakan jalan yang membawa kepada kemakmuran dan jalan membawa kepada perpecahan.
Dr Zuraimy Ali

Selepas bumi ini diciptakan Allah SWT, maka bermulalah tujuan dan kehendak Allah SWT untuk menjadikan manusia mendiami bumi ini dengan aturan-Nya. Setelah Nabi Adam dan Hawa diturunkan ke bumi maka bermula amanah besar yang perlu digalas seluruh anak cucu keturunan Nabi Adam AS bagi memakmurkan bumi Allah SWT.

Hal ini sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi." Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya" (Surah al-Baqarah, ayat 30)

Tujuan bumi dijadikan buat manusia sebagai ujian bagi melihat sejauh mana manusia mampu memikul amanah sebagai hamba dan khalifah-Nya.

Namun peristiwa sedih dalam tamadun manusia yang terawal berlakunya pembunuhan dua anak Nabi Adam AS yang dinukilkan al-Quran yang berbunyi: "Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil): "Sesungguhnya aku akan membunuhmu!"

(Habil) menjawab: "Bahawasanya Allah menerima (korban) daripada orang-orang yang bertaqwa; Demi sesungguhnya! Jika engkau hulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang mentadbirkan sekalian alam; "Sesungguhnya aku mahu supaya engkau kembali
dengan (membawa) dosa (membunuhku) dan dosamu sendiri. Maka dengan itu menjadilah engkau daripada ahli neraka, dan itulah dia balasan orang-orang yang zalim." Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga ia tergamak) membunuh saudaranya, lalu ia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia daripada golongan orang-orang yang rugi" (Surah al-Maidah, ayat 27-30)

Berdasarkan kisah di sebalik peristiwa itu jelas kepada kita bahawa pengajaran besar dapat dicerakinkan minda yang sihat bahawa setiap insan wajib sentiasa memakmurkan bumi Allah SWT dengan membina semangat kesatuan dan mengelak perbalahan serta perpecahan sehingga membawa kepada kerosakan yang lebih besar. Manusia yang terdidik dengan nilai dan ilmu pasti benar memahami hasutan dan bisikan iblis tidak pernah lekang daripada tujuannya untuk menghasut manusia agar sentiasa berbalah, berpecah serta gembira melihat jika ada manusia lain ingin hidup bahagia hancur musnah.

Iblis gemar melihat anak cucu Nabi Adam AS sentiasa berantakan dan menunggu perpecahan sehingga menjadikan mereka sebahagian yang mewarisi dan mengamalkan sifat Iblis seperti sombong, hasad dengki serta saling menjatuhkan antara satu sama lain disebabkan dendamnya yang lampau terhadap kemuliaan Nabi Adam AS yang dipilih Allah SWT melalui penciptaan-Nya.

Kesombongan dan hasad dengki itu jelas terpancar pada Iblis apabila al-Quran merakamkan kisah Iblis yang berbunyi: "Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam." Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia daripada golongan yang kafir"(Surah al-Baqarah, ayat 34)

Pengajaran besar daripada kisah al-Quran mampu menjadikan insan sentiasa sedar akan tipu daya Iblis yang inginkan kehancuran, perpecahan, keretakan sehingga gembira melihat kemusnahan insan yang lain.

Iblis akan sedaya upaya dengan pelbagai cara menghasut manusia sehingga keamanan dan keharmonian yang dikecapi oleh manusia dimusnahkan dengan pelbagai tipu muslihat sehingga akhirnya sebahagian manusia mudah terjebak dan akhirnya mengikuti bisikan Iblis.

Bagi membangunkan semangat nilai dan kesatuan di dalam negara Malaysia Madani sudah tentu insan terdidik dengan iman, ilmu dan nilai mampu membezakan mana jalan membawa kepada kemakmuran dan jalan membawa kepada perpecahan sehingga akhirnya malapetaka yang besar menunggu bagi mereka yang termakan panahan iblis.

Justeru, tingkatkan iman terus berusaha membina kesatuan kerana Islam agama menyeru kepada kekuatan kesatuan.

Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara cawangan Perlis

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2024 @ 7:02 AM