DR Mahathir, gambar fail. FOTO NSTP
DR Mahathir, gambar fail. FOTO NSTP
Wartawan HM


Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyarankan supaya umat Islam terus memboikot barangan dan produk yang menyokong serta dikesan menyalurkan dana kepada Israel susulan kekejaman melampau rejim zionis itu terhadap rakyat Palestin.

Negarawan itu berkata, umat Islam boleh membeli dan menggunakan produk lain dan ia adalah satu tindakan yang boleh dilakukan untuk 'mendera' pula rejim Israel di atas kejahatan yang dilakukan mereka.

Katanya, selain derma, masyarakat dunia terutama umat Islam boleh menggunakan kuasa masing-masing dengan memboikot produk yang menyokong negara haram berkenaan.

"Tidak banyak yang boleh dilakukan oleh masyarakat dunia bagi menghentikan serangan dan kekejaman Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza.

"Umat Islam meliputi seramai 1.7 bilion di seluruh dunia dan jika separuh atau suku daripadanya memboikot, maka ia satu isyarat jelas kepada Israel.

"Saya bersyukur kerana saya tidak minum lagi kopi Starbuck. Saya pergi kedai lain. Rupa-rupanya kopi kedai lain lagi sedap daripada Starbuck," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Bicara Tokoh Negarawan bertajuk 'Masa Depan Palestin: Apakah perlu dilakukan?' yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook (FB) live Aid4Palestine, semalam.

Program Bicara Negarawan itu turut menampilkan turut menampilkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Dr Mahathir berkata, umat Islam boleh merujuk senarai produk yang menyokong Israel di media sosial sebagai panduan sebelum membeli barangan berkenaan.

"Pengguna boleh menggantikan produk yang diboikot dengan barangan tempatan yang tidak kurang hebatnya," katanya.

Sebelum ini menerusi tinjauan di platform media sosial Harian Metro mendapati majoriti pengguna media sosial bersetuju untuk memboikot produk berkaitan Israel susulan kekejaman rejim zionis terhadap Palestin.

Keputusan itu diperoleh berdasarkan undian yang dibuat di platform Facebook, Instagram dan X (dahulunya Twitter) Harian Metro dalam tempoh 24 jam bermula 5 petang 26 Oktober lalu hingga 5 petang hari berikutnya.

Undian di Facebook mendapati 96 peratus memilih untuk memboikot, dan hanya empat peratus yang mengatakan tidak akan boikot.

Hasil hampir sama turut diperoleh di Instagram apabila sebanyak 94 peratus memilih memboikot dan enam peratus lagi memilih tidak memboikot.

Undian di laman X pula mendapati sebanyak 85.1 peratus memilih memboikot manakala 14.9 peratus lagi memilih untuk tidak memboikot.

Angka kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu mencecah 13,000 orang, termasuk lebih 5,500 kanak-kanak dan 3,500 wanita.

Menurut kenyataan pejabat media wilayah itu, jumlah kecederaan pula melebihi 30,000 orang dengan lebih 75 peratus daripada mereka kanak-kanak dan wanita, lapor Agensi Anadolu.

Jumlah penduduk yang hilang melepasi 6,000 orang dengan kebanyakan mereka disyaki tertimbus di bawah runtuhan bangunan.

Bilangan masjid yang musnah sepenuhnya sebanyak 83 dan 166 lagi rosak, manakala tiga gereja turut menjadi sasaran serangan Israel, menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad itu.

\

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 4:20 PM