PEMANDU van cedera akibat dipukul seorang warga emas selepas kemalangan kecil antara kenderaan dipandu mereka. FOTO tular
PEMANDU van cedera akibat dipukul seorang warga emas selepas kemalangan kecil antara kenderaan dipandu mereka. FOTO tular
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Serdang: Pemandu van cedera di kepala akibat dipukul seorang warga emas yang berang selepas berlaku kemalangan kecil antara kedua-dua pihak di Jalan PBS 14/11, Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Izuddin Ab Wahab berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu daripada mangsa berusia 24 tahun 3.30 petang,

"Hasil siasatan mendapati pergaduhan berpunca apabila mangsa yang memandu van cuba memotong kereta dipandu suspek berusia 64 tahun dan berlaku sedikit pelanggaran.

"Susulan itu berlaku pergaduhan antara kedua-dua pihak sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan luka kecil dan sudah menerima rawatan di Hospital Serdang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu satu video tular di Facebook memaparkan suspek mencekak baju mangsa sambil memegang sebatang objek berwarna hitam di tangan kanan.

Beberapa individu lain kelihatan cuba menenangkan suspek dan cuba meleraikan keadaan namun suspek menghayun objek berwarna hitam berkenaan sehingga mengenai kepala mangsa.

Mengulas lanjut Izuddin berkata, polis sudah mengambil keterangan daripada semua pihak terbabit namun tiada kertas siasatan dibuka berikutan kedua-dua pihak memilih untuk menyelesaikan secara baik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2023 @ 4:42 PM