GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Serdang: Lelaki parah selepas motosikal ditungganginya dirempuh sebuah lori terbabas selepas hilang kawalan di lampu isyarat Jalan Serdang Raya, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan membabitkan dua lori dan sebuah motosikal jam 2.22 petang.

"Dalam kejadian jam 1.15 petang, sebuah lori rigid hilang kawalan selepas melanggar bahagian belakang lori jenis Daihatsu yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat.

"Pelanggaran itu menyebabkan lori rigid terbabas lalu melanggar motosikal Suzuki ditunggang mangsa menyebabkan sebatang tiang lampu jatuh," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kedudukan mangsa sebelum kejadian masih dalam siasatan berikutan motosikalnya sudah diubah kedudukan oleh orang awam.

Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan parah dibawa ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi pihak trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 5:41 PM