ANWAR Ibrahim  berucap ketika hadir pada Majlis Peluncuran Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur hari ini. FOTO Bernama
ANWAR Ibrahim berucap ketika hadir pada Majlis Peluncuran Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tahap kecekapan pegawai kerajaan di seluruh negara perlu dipertingkatkan bagi mempercepat kelulusan sebarang pelaksanaan projek atau dasar pada masa akan datang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Walaupun ketika ini kecekapan pelaksanaan projek di dalam negara dilihat berada pada tahap baik, namun tahap kecepatan kelulusan projek masih belum memuaskan, katanya.

Justeru, beliau berkata, mereka perlu diberikan pendedahan dan latihan tambahan mengenai perancangan dan kaedah menangani permasalahan yang membabitkan pelaksanaan projek di satu-satu kawasan berkaitan.

"Antara cabaran kita adalah kepantasan atau kecepatan meluluskan bila sudah ada keputusan. Betul, kita sudah runding dan teliti tetapi ada masalah kita lewat meluluskan (projek) bukan saja di Kuala Lumpur, tetapi di seluruh negara.

"Ini yang disebut 'ease of doing business', maknanya kepantasan atau kecepatan meluluskan setelah mengambil kira semua peraturan diteliti, dicerakin sebelum kelulusan dibuat," katanya ketika berucap melancarkan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040, di sini hari ini.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Komunikasi dan Digital merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Kamarulzaman Mat Salleh.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar mengingatkan semua pihak, terutamanya pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tidak melengahkan mana-mana projek pembangunan yang diputuskan dan diluluskan sebelum ini.

Perdana Menteri berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat Khas bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dipengerusikannya pagi tadi telah memutuskan supaya laporan berkaitan status pelaksanaan projek pembangunan di ibu kota dibentangkan dalam tempoh dua minggu.

Beliau berkata, ia bagi mengelakkan penangguhan projek sehingga berkemungkinan memberi kesan dan kesukaran kepada pelbagai pihak, terutamanya yang membabitkan projek rakyat.

"Kita tidak boleh lengahkan projek yang telah diputus dan diluluskan. Sebab itu, kita putuskan dalam tempoh dua minggu, saya mahu supaya laporan tentang pelaksanaan keputusan (projek) disampaikan.

Kalau tidak... nanti keputusan (projek) akan kita tangguh sampai tahun hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 3:41 PM