TANGKAP layar tular rakaman video berdurasi 42 saat memaparkan seorang guru menampar murid terbabit di bahagian dahi ketika berada di atas pentas.
TANGKAP layar tular rakaman video berdurasi 42 saat memaparkan seorang guru menampar murid terbabit di bahagian dahi ketika berada di atas pentas.
Mohd Iskandar Ibrahim

Putrajaya: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menjalankan siasatan berhubung rakaman video tular memaparkan seorang guru didakwa menampar murid ketika penganjuran majlis rasmi di sebuah sekolah.

KPM menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya mengambil maklum berhubung rakaman video terbabit yang tular di media sosial.

"KPM mengambil perhatian rakaman video tular di media sosial yang memaparkan seorang guru bertindak kasar terhadap murid sewaktu penganjuran majlis rasmi di sekolah.

"Siasatan sedang dijalankan bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan segera," katanya.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 42 saat memaparkan seorang guru menampar murid terbabit di bahagian dahi ketika berada di atas pentas.

Tindakan yang dilakukan di hadapan khalayak ramai itu difahamkan dirakam seorang guru lain yang mendakwa dia tidak kisah jika disaman berkaitan hal terbabit.

Mengulas lanjut, KPM menasihatkan golongan pendidikan supaya sentiasa memelihara etika dan menjunjung tinggi martabat serta profesionalisme sebagai seorang guru.

"KPM komited memastikan keselamatan dan kesejahteraan murid, guru serta seluruh warga institusi pendidikan bawah kelolaannya terpelihara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2023 @ 1:49 PM