Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Kementerian Pendidikan (KPM) memberikan tumpuan tujuh teras utama termasuk menjadikan komunikasi antara kementerian dan sekolah lebih cekap dan telus.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata, bagi mengurangkan kesenjangan birokrasi dalam urusan guru dan murid, aduan, cadangan serta pertanyaan boleh dikemukakan terus melalui pelbagai saluran rasmi yang disediakan KPM termasuk Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), AduBuli dan Kaunter Khidmat Pelanggan.

"Saya akan pastikan laporan berkaitan akan diambil tindakan," katanya pada sidang media khas di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalannya, Lim Hui Ying.

Beliau berkata, teras kedua memberi penekanan kepada aspek karamah insaniah melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti.

"KPM yakin akan mewujudkan suasana harmoni yang akan menghindari gejala negatif seperti gangguan seksual, buli, ekstremisme, gengsterisme dan vandalisme.

"Ketiga, memberi perhatian terhadap isu kemiskinan multidimensi murid daripada keluarga B40 termasuklah dari aspek malnutrisi, peranti dan ruang pembelajaran.

"Saya akan bekerjasama rapat dengan kementerian yang berkaitan dalam memastikan isu kemiskinan keluarga yang memberi impak langsung kepada pendidikan anak-anak dapat dibantu dengan wajar," katanya.

Fadhlina berkata, teras keempat iaitu memberi perhatian kepada isu keciciran pendidikan serta masalah literasi dan numerasi supaya kesenjangan pendidikan yang wujud dapat dirapatkan.

"Kelima, memberi fokus kepada kebajikan guru kerana guru adalah teras utama keberkesanan penyampaian pendidikan.

"Oleh itu saya akan memastikan mereka diberi sokongan profesional berterusan yang sewajarnya dan memberi tumpuan kepada kebajikan termasuk tekanan yang dihadapi oleh guru disebabkan beban tugas dan berjauhan daripada pasangan," katanya.

Katanya, teras Keenam, memberi tumpuan kepada usaha untuk mengubah suai dan menaik taraf sekolah yang mempunyai bangunan daif, terutamanya di Sabah dan Sarawak.

"Ketujuh, meningkatkan keupayaan pendidikan digital di sekolah. Kementerian akan membuat libat urus bersama dengan agensi pusat bagi meningkatkan keupayaan pendidikan digital di institusi pendidikan di bawah KPM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 3:54 PM
Fadhlina Sidek (dua, kanan) ketika sidang media Khas Kementerian Pendidikan Malaysia. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Fadhlina Sidek (dua, kanan) ketika sidang media Khas Kementerian Pendidikan Malaysia. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI