LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menjalankan siasatan dakwaan kes buli melibatkan seorang pelajar sekolah baru-baru ini, bagi memastikan isu itu dapat diselesaikan segera.

KPM dalam kenyataan memaklumkan pihaknya mengambil perhatian dakwaan kes buli di sekolah seperti yang dilaporkan oleh media.

"Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bilangan 12 dan 13 Tahun 2023, bertarikh 3 November 2023 perlu dijadikan panduan bagi menangani gejala buli dan gangguan seksual di semua institusi pendidikan KPM," menurut kenyataan itu.

KPM menyatakan pihaknya menyediakan empat saluran utama bagi membolehkan murid, ibu bapa dan masyarakat untuk membuat aduan mengenai kes buli dan gangguan seksual menerusi talian khas Aduan Buli, aplikasi WhatsApp, e-mel [email protected] dan aduan buli dalam Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

Media hari ini melaporkan seorang pelajar berusia 14 tahun yang hilang dari sekolah berasrama penuh di sini, Khamis lalu ditemukan dalam keadaan lemah di Masjid Saidina Othman, Bandar Tun Razak malam tadi.

Difahamkan, remaja berkenaan bertindak melarikan diri dari sekolah berikutan dibuli pelajar lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 9:09 PM