KOMPLEKS Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
KOMPLEKS Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Seorang bekas anggota polis wanita berpangkat Sarjan didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menerima rasuah RM6,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap seorang lelaki atas kesalahan mencabul, dua tahun lalu.

Hakim Suzana Hussin memutuskan hukuman berkenaan terhadap bekas Penolong Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Seksual Wanita & Kanak-Kanak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Nur Mastisha Maidinsha, 39, selepas pengakuan ditukar kepada bersalah atas dua pertuduhan pilihan.

Mahkamah juga memerintahkan Nur Mastisha dipenjara 40 hari jika gagal membayar denda.

Suzana berharap tertuduh insaf dan berfikir secara mendalam sebelum mengambil sebarang tindakan pada masa akan datang.

"Mahkamah menerima pengakuan bersalah. Tertuduh bersalah dan disabitkan kesalahan sebagaimana pertuduhan pilihan.

"Kes ini bukan saja bukan memberi kesan kepada tertuduh, malah termasuk anak yang masih kecil," katanya.

Mengikut pertuduhan pilihan, Nur Mastisha didakwa menerima wang RM6,000 tanpa balasan daripada seorang lelakiyang mana tertuduh mengetahui bahawa lelaki itu ada hubungan dengan kerja rasmi bekas anggota polis itu.

Kesalahan dilakukan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan sebuah stesen minyak di Batu 9 dekat Cheras, 8 malam serta 8.05 malam pada 1 dan 12 Oktober 2022 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh mencadangkan untuk selesaikan tanpa siasatan iaitu membayar wang sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap anak lelaki yang juga suspek kes cabul.

Terdahulu, Nur Mastisha yang tidak diwakili peguam mendakwa tidak pernah dikenakan tindakan tatatertib atau terbabit jenayah sepanjang perkhidmatan sebagai anggota polis selama 19 tahun.

Wanita itu berkata, kes rasuah dihadapinya kali pertama berlaku yang dianggap sebagai ujian.

"Saya mohon jasa baik untuk kurangkan denda kerana sudah menjimatkan masa mahkamah dan pihak pendakwaan.

"Saya juga menanggung dua anak dan perlu membayar hutang RM4,500 setiap bulan, selain bukan senang untuk mendapat pekerjaan baharu," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atiqah Mohamad Alias berkata, kesalahan rasuah "menconteng arang ke muka" Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain merosakkan reputasi dan mengurangkan kepercayaan masyarakat terhadap pasukan penguatkuasaan itu.

"Apatah lagi, PDRM adalah satu badan yang dipercayai untuk menjaga keamanan negara.

"Bagi fakta kes yang diakui, tertuduh memperoleh wang suapan untuk dirinya supaya tidak mengambil tindakan ke atas suspek jenayah seksual.

"Faktor kepentingan awam antara pertimbangan utama mahkamah dalam memutuskan hukuman yang sesuai terhadap tertuduh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2024 @ 12:28 PM