GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Suraya Roslan


Kajang: "Saya tampal bendera Israel di kedai makanan segera itu sebab saya marah selepas ada keluarga saya meninggal dunia di Palestin."

Demikian rayuan seorang pekerja sambilan sewa kereta apabila didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah meletakkan pelekat bendera Israel di sebuah restoran makanan segera, bulan lalu.

Majistret Nurul Hafzan Ab Aziz turut memerintahkan Tariq Hazim Mohd Yusri, 25, menjalani hukuman penjara sehari sekiranya gagal membayar denda.

Rayuan itu dibuat sebelum Nurul Hafzan menjatuhi hukuman terhadap lelaki itu.

"Kamu kena fikir akibat perbuatan kamu itu, sebab kalau kamu buat begitu ia tidak akan menjadi keadaan yang lebih baik," katanya.

Mengikut pertuduhan, Tariq Hazim didakwa meletakkan pelekat bendera Israel, yang mana keamanan seorang pekerja wanita di sebuah restoran makanan segera mungkin terganggu di Batu 10, Jalan Hulu Langat, di sini, jam 4.42 petang, 29 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM100.

Mengikut fakta kes, seorang wanita yang bekerja di restoran itu menyedari terdapat beberapa pelekat bendera negara terbabit dilekatkan di lantai berdekatan restoran berkenaan.

Wanita itu kemudiannya memaklumkan perkara berkenaan kepada pengurus dan pemeriksaan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, tertuduh melakukan kesalahan berkenaan lalu beredar dengan menaiki sebuah kereta.

Dalam rayuan untuk meringankan hukuman, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nabilla Rosli yang mewakili tertuduh memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman denda minimum kerana lelaki itu yang bekerja sambilan hanya berpendapatan RM2,500 sebulan.

"Tertuduh perlu menanggung isteri yang tidak bekerja sementara ibu tertuduh mempunyai penyakit gout dan bapanya mempunyai penyakit jantung selain menanggung ibu mentuanya yang juga ibu tunggal.

"Tertuduh juga menyesal atas kesilapannya itu dan memohon maaf kepada semua pihak," kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Husna Amran memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam serta sebagai pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan sama pada masa depan.

Terdahulu, polis Selangor menerima tujuh laporan kes restoran makanan segera diconteng dan ditulis dengan perkataan jelik di negeri itu bagi tempoh 28 Mei hingga 30 Mei dipercayai sebagai tanda boikot berhubung isu Palestin-Israel.

Empat kes berlaku di Sungai Buloh, dua di Kajang dan satu di Petaling Jaya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2024 @ 2:04 PM