Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Polis merampas dua pucuk pistol dan menahan dua lelaki dalam serbuan berasingan di sebuah rumah di Kedai Meranti, Pasir Mas dan hotel bajet di Chabang Empat Salam, Rantau Panjang di sini, semalam.

Serbuan 4.30 pagi itu, seorang lelaki berusia 30 tahun di hadapan rumah di Kedai Meranti dan kemudiannya ditemukan sepucuk pistol jeis Revolver bertulis 'Police Positive Special' dan seorang lelaki warga Thailand berusia 35 tahun di Chabang Empat Salam yang menjumpai sepucuk pistol model 213 jenis Norico dan sembilan butir peluru 9mm.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, serbuan pertama oleh pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pasir Mas di sebuah rumah di Kedai Meranti dan mendapati seorang lelaki disyaki penagih dadah berdiri di hadapan kediaman terbabit.

Menurutnya, ketika anggota AADK mahu menahan berlaku pergelutan apabila suspek cuba mencapai sesuatu disyaki senjata api jenis pistol yang berada di atas tangga rumah.

"Suspek berjaya ditahan dan pemeriksaan dibuat berjaya merampas sepucuk pistol. Pemeriksaan di tubuh badan suspek tidak menjumpai apa-apa barang yang salah.

"Lelaki itu mengaku pistol yang dirampas adalah miliknya yang dibeli di Thailand pada 2017 dengan harga RM2,000.

MUHAMAD Zaki (tengah) bersama pegawainya menunjukan dua pucuk pistol bersama 9 butir peluru dalam serbuan di Chabang Empat Salam, Rantau Panjang dan di Kedai Meranti, Pasir Mas pada sidang media di IPK Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MUHAMAD Zaki (tengah) bersama pegawainya menunjukan dua pucuk pistol bersama 9 butir peluru dalam serbuan di Chabang Empat Salam, Rantau Panjang dan di Kedai Meranti, Pasir Mas pada sidang media di IPK Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas dan direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 7 Februari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, dalam serbuan kedua yang dilakukan pegawai dan anggota dari Cawangan Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas menahan lelaki Thailand selepas menerima aduan berhubung pergaduhan antara suami isteri di sebuah hotel bajet.

"Polis berjaya menangkap lelaki itu yang menginap di hotel terbabit dan pemeriksaan menjumpai sepucuk pistol jenis Norico yang disorokkan dalam beg galas yang dipakai suspek.

"Kita juga menemukan sembilan butir peluru 9mm, tiga telefon bimbit, wang tunai dan pasport suspek.

"Suspek mengaku membeli pistol itu dengan harga RM4,000 dan masuk menerusi pangkalan haram," katanya.

Menurutnya, lelaki itu direman selama 14 hari bermula semalam untuk siasatan mengikut Seksyen Seksyen 8 Akta Senjata Api (PLB) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen1953/63.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 3:57 PM