Wan Aminordin (dua dari kanan) berbual bersama penduduk kampung ketika program Orang Dasar Sabak Peka Pembakaran Terbuka sempena sambutan HASN 2023 peringkat Negeri Kelantan. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Wan Aminordin (dua dari kanan) berbual bersama penduduk kampung ketika program Orang Dasar Sabak Peka Pembakaran Terbuka sempena sambutan HASN 2023 peringkat Negeri Kelantan. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerima 105 aduan pembakaran terbuka bagi tempoh Januari hingga Oktober lalu di negeri ini sekali gus mencatatkan peningkatan hampir 80 peratus berbanding tahun lalu.

Pengarah JAS Kelantan, Wan Aminordin Wan Kamaruddin berkata, pihaknya menerima sebanyak 75 aduan bagi tempoh sama tahun lalu dengan daerah Kota Bharu mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 55 kes diikuti Bachok (14) dan Pasir Mas (13).

"Untuk tahun ini, kita menerima aduan keseluruhan berjumlah 188 kes dengan 137 kes membabitkan udara yang mana 105 kes daripadanya adalah pembakaran terbuka.

"Pembakaran terbuka sering berlaku di kawasan tanah gambut serta pembuangan sampah dan banyak kes diterima di Beris Lalang, Bachok pada April lalu.

"Aduan lain yang sering diterima adalah berkaitan bunyi bising, debu, habuk kenderaan serta kumbahan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Orang Dasar Sabak Peka Pembakaran Terbuka sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2023 peringkat Kelantan di Pantai Dasar Sabak, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Wan Aminordin berkata, pihaknya sentiasa melakukan rondaan untuk mengenal pasti kawasan yang berlaku pembakaran terbuka, malah khidmat nasihat akan diberikan kepada individu atau kumpulan yang melakukan aktiviti itu.

Menurutnya, mereka yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2023 @ 3:05 PM