DRON digunakan untuk memantau kebakaran di tanah gambut di Bachok. FOTO Nor Amalina Alias
DRON digunakan untuk memantau kebakaran di tanah gambut di Bachok. FOTO Nor Amalina Alias
BERNAMA

Kota Bharu: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan menggunakan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) atau dron untuk membuat pemantauan di kawasan kebakaran tanah gambut di sekitar kawasan Mukim Beris Lalang di Bachok.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan Wan Aminordin Wan Kamaruddin berkata kaedah tersebut digunakan sebelum tindakan pemadaman susulan dilakukan.

"JAS Kelantan dengan kerjasama agensi lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan sentiasa memantau keadaan semasa kualiti udara di seluruh negeri ini terutama di kawasan kebakaran tanah gambut di Mukim Beris Lalang.

"Rondaan dilakukan setiap hari sejak dua minggu lepas selain membuat pemantauan melalui udara menggunakan UAV," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Sementara itu, Wan Aminordin berkata Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kota Bharu turun kepada tahap sederhana iaitu 93 setakat 11 pagi ini berbanding tahap tidak sihat 104 yang direkodkan semalam.

Beliau berkata penurunan tersebut ekoran berlakunya hujan di beberapa kawasan bermula petang semalam.

"Cuaca panas di Kelantan sejak tiga minggu lepas antara faktor yang menyebabkan peningkatan IPU selain faktor-faktor lain termasuk partikel daripada asap dan habuk, kebakaran tanah gambut dan pembakaran terbuka.

"Dalam keadaan kualiti udara yang tidak menentu ini, kita nasihatkan orang awam dapat mengurangkan atau menangguhkan aktiviti luar bagi mengelak kesan jerebu yang mungkin boleh menjejaskan kesihatan.

Beliau turut menasihatkan orang awam agar tidak melakukan sebarang pembakaran secara terbuka yang akan memberi kesan kepada kualiti udara sedia ada.

Katanya individu melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 29 A Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 yang membawa denda sehingga RM500,000 dan penjara lima tahun, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2023 @ 4:25 PM