SAZALI menunjukkan sebahagian daripada barang barang yang disita ketika sidang media mengenai kejayaan membuat sitaan terhadap barang kawalan berjadual yang disyaki minyak diesel bersubsidi di Jalan Tukang Besi, Rawang. FOTO Eizairi Shamsudin
SAZALI menunjukkan sebahagian daripada barang barang yang disita ketika sidang media mengenai kejayaan membuat sitaan terhadap barang kawalan berjadual yang disyaki minyak diesel bersubsidi di Jalan Tukang Besi, Rawang. FOTO Eizairi Shamsudin
Nurul Hidayah Bahaudin

Rawang: Kegiatan sindiket penyelewengan diesel yang mengaut keuntungan dengan menjual barang kawalan itu pada harga dua kali ganda dari harga subsidi terbongkar hasil serbuan di sebuah gudang di Jalan Tukang Besi di sini, Rabu lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Sazali Mohamad berkata, pihaknya menerusi pasukan operasi dari Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon 1 Tengah Unit 1 (Kuala Lumpur) membuat serbuan di gudang persendirian itu pada 9 malam, 5 Julai lalu.

"Hasil pemeriksaan yang dilakukan, kami menemui beberapa tangki diesel, tiga tangki skid bersaiz 30,000 liter dan tiga lori bonded yang sudah diubah suai.

"Turut ditemui adalah peralatan pam minyak bagi tujuan penyelewengan diesel bersubsidi yang dianggarkan sebanyak 48,600 liter bernilai RM104,490 membabitkan cukai dan duti berjumlah RM19,920," katanya ketika sidang media di gudang berkenaan di sini, hari ini.

Sazali berkata, modus operandi sindiket itu adalah menjalankan aktiviti pembekalan dan penyimpanan diesel bersubsidi di gudang persendirian terletak di kawasan terpencil bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Sindiket itu dipercayai menjadikan gudang ini sebagai lokasi penyimpanan atau transit diesel kerana kedudukannya yang berada jauh dari pandangan awam dan dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak awal tahun ini berdasarkan bukti ditemukan pasukan serbuan.

"Malah, sindiket ini juga dipercayai aktif menjalankan aktiviti penjualan diesel bersubsidi secara haram kepada pihak industri tempatan berdasarkan sumber risikan diperoleh.

"Berdasarkan maklumat diperoleh, sindiket ini dipercayai membeli diesel bersubsidi untuk orang awam pada harga RM2.15 seliter sebelum dijual kepada pemain industri pada harga RM4 seliter berbanding harga ditetapkan untuk pihak industri iaitu sekitar RM5 seliter," katanya.

Beliau berkata, semakan lanjut di gudang itu juga tidak menemui sebarang dokumen berkaitan kelulusan penyimpanan barang kawalan.

"Siasatan lanjut sedang giat dilakukan untuk mengesan pemilikan atau kumpulan sindiket yang terbabit.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Bekalan 1961.

"Penyimpanan diesel bersubsidi adalah diisytiharkan sebagai Barang Kawalan Berjadual di bawah Seksyen 5 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan memerlukan lesen borong diluluskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

"Urus niaga barang-barang kawalan berjadual memerlukan lesen yang dikeluarkan oleh Pengawal Bekalan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974," katanya.

Beliau turut menggesa orang awam membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membabitkan diri dengan aktiviti berkenaan kerana penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

"JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam berhampiran di semua negeri untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2023 @ 4:50 PM