Kamalludin Ismail ketika di lokasi serbuan  kegiatan penyelewengan diesel. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Kamalludin Ismail ketika di lokasi serbuan kegiatan penyelewengan diesel. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Satu sindiket penyelewengan diesel bersubsidi menyimpan stok bahan api terbabit di dalam dua tangki bawah tanah di sebuah premis kolam ikan di Kampung Kepayang, Simpang Pulai di sini, sebelum ia dijual kepada pihak industri.

Pada masa sama, sindiket turut mengarahkan pemandu mereka mengisi bahan api itu secara berulang kali di stesen minyak dengan menggunakan lori yang sudah diubah suai.

Hasil risikan serta maklumat awam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu dan merampas 32,000 liter diesel bersubsidi bernilai RM76,160 dalam tangki bawah tanah serta tangki tambahan lori di premis itu kelmarin.

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata, dua lelaki warga tempatan berusia 47 serta 49 tahun yang juga pemandu lori serta pemilik premis ditahan pada Ops Tiris itu.

"Kami turut menemukan lima pam penyedut minyak serta dua lori yang digunakan bagi membeli dan mengedar diesel membabitkan nilai rampasan keseluruhan RM321,170.

"Kami menemukan dua tangki bawah tanah yang digunakan untuk menyimpan bahan api terbabit malah sindiket turut meletakkan pelbagai barang di atasnya," katanya kepada media di lokasi serbuan di sini, hari ini.

Menurutnya, diesel itu akan dihantar kepada beberapa industri di Pulau Pinang dengan enam kali penghantaran.

"Sindiket ini beroperasi sejak tiga bulan lalu dengan menjual bekalan bahan api terbabit kepada syarikat-syarikat industri di Pulau Pinang dan mampu meraih keuntungan sehingga RM45,000 sebulan.

"Siasatan mendapati, premis ini tidak memiliki lesen atau permit menyimpan barang kawalan daripada KPDN," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 3:21 PM