Muhaamad Hafis Nawawi

Subang Jaya: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) akan menggunakan Pelan Operasi Bantuan Bencana sebagai persediaan menghadapi kedatangan musim tengkujuh, bulan ini.

Timbalan Datuk Bandarnya, Zulkurnain Che Ali berkata, pelan ini dibuat susulan kejadian banjir yang melanda Selangor pada 2021 sebagai garis panduan apabila berlaku bencana banjir atau tanah runtuh.

Menurutnya, insiden banjir besar sebelum ini turut menyebabkan banyak kenderaan tidak dapat diselamatkan.

"Jadi melalui Pelan Operasi Bantuan Bencana ini, jika berlaku banjir dan sebagainya penduduk sudah tahu hendak alihkan kenderaan mereka ke mana terlebih dahulu.

"Selepas kenderaan itu selamat dipindahkan di lokasi disediakan MBSJ, mereka akan berpindah ke pusat penempatan sementara (PPS) yang diwartakan.

"Dalam menghadapi Monsun Timur Laut ini, kita mengenal pasti 25 kawasan berisiko banjir dan MBSJ sudah memasang 10 stesen pengesan paras air di kawasan risiko banjir yang boleh mengeluarkan amaran awal ke Bilik Gerakan Bencana," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Sesi Latih Amal Kesiapsiagaan Bagi Hadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2023 di Tasik Puchong Prima, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat dan Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan.

MOHD Zulkurnain (tengah) mendengar penerangan dari wakil jurulatih ketika Sesi Latih Amal Kesiapsiagaan Hadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2023 yang bertempat di Meraki, Tasik Puchong Prima. FOTO Sadiq Sani
MOHD Zulkurnain (tengah) mendengar penerangan dari wakil jurulatih ketika Sesi Latih Amal Kesiapsiagaan Hadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2023 yang bertempat di Meraki, Tasik Puchong Prima. FOTO Sadiq Sani

Zulkurnain berkata, 10 stesen pengesan paras air itu ditempatkan dua di Subang Jaya, dua di Kinrara, satu di Kota Kemuning, tiga di Serdang dan dua di Seri Kembangan.

"Amaran ini kemudian akan dihebahkan kepada agensi bertindak yang lain bagi tindakan mengikut bidang kuasa masing-masing serta kumpulan komuniti di kawasan risiko bencana sebagai langkah berjaga-jaga.

"Amaran paras air ini juga dihebahkan kepada semua penduduk melalui laman sosial MBSJ," katanya.

Katanya, selain itu, pihaknya juga akan memastikan sistem saliran diselenggarakan dengan baik terutamanya di 25 kawasan risiko banjir.

"Bilik Gerakan Bencana ini juga akan diaktifkan 24 jam bermula 20 November ini atau lebih awal mengikut keadaan cuaca," katanya.

Sementara itu, Wan Azlan berkata, pihaknya juga akan mengadakan kawalan dan pemantauan di kediaman mangsa banjir bagi mengelak insiden pecah masuk rumah dan kecurian berlaku.

Terdahulu, sesi latihan itu membabitkan 110 anggota Pasukan Tindakan Segera (Pantas) IPD Subang Jaya dan IPD Serdang yang dikelolakan jurulatih Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Petaling.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 5:37 PM