Rosman Shamsudin

Slim River: Keprihatinan Petronas menyumbang kelengkapan dan peralatan kepada Pengurusan Bencana Negara diharapkan mampu meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan kecekapan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlaku bermula November depan.

Sumbangan terbabit diberikan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) atau Jawatan Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) melalui Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selaku Sekretariat Pengurusan Bencana.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Muallim, Mohamad Fitri Hassan berkata, pihak JPBD Muallim mengalukan sumbangan terbabit yang diharapkan mampu meningkatkan kesiapsiagaan jawatankuasa berkenaan bagi menghadapi MTL di daerah ini.

Menurutnya, penambahan aset melalui sumbangan Petronas sudah tentu dapat membantu melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa banjir terutama di daerah ini yang tidak terlepas menghadapi bencana terbabit.

ZULKIFLI (tiga kanan) menyampaikan sumbangan kepada Mohamad Fitri Hassan (dua kiri) di perkarangan Pejabat APM Daerah Muallim. FOTO Rosman Shamsudin
ZULKIFLI (tiga kanan) menyampaikan sumbangan kepada Mohamad Fitri Hassan (dua kiri) di perkarangan Pejabat APM Daerah Muallim. FOTO Rosman Shamsudin

"Bagi menghadapi MTL, kelengkapan aset perlu disediakan secara terperinci, selain sumber manusia yang cukup dari pelbagai agensi dan sumber kewangan di samping mengamalkan kaedah pengurusan bencana yang efektif.

"Beban dan risiko yang dipikul oleh setiap pasukan penyelamat amatlah besar menyebabkan kebajikan mereka dalam aspek keselamatan juga perlu diambil kira dan diutamakan," katanya ketika berucap di Program Bantuan Bencana oleh Petronas peringkat negeri Perak di perkarangan APM Daerah Muallim, hari ini.

Majlis penyerahan sumbangan disampaikan oleh Ketua Petronas Wilayah Utara dan Tengah, Zulkifli Othman.

Sumbangan berkenaan membabitkan dua buah bot bersama treler dan kelengkapan bot, 300 buah khemah, 150 jaket keselamatan dan 1500 baju hujan.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah APM Perak, Leftenan Kolonel (PA) Mohammad Azwani Kusnin, Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir, Pengurus Kanan Perhubungan Awam dan Korporat Petronas, Najiha Hambali dan Pegawai APM Daerah Muallim, Kapten (PA) Shahrizal Husin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 7:27 PM