Laluan utama dan alternatif antara Kota Tinggi dan Johor Bahru dibaiki serentak hingga menimbulkan kesulitan dalam kalangan pengguna jalan raya. FOTO IHSAN PEMBACA
Laluan utama dan alternatif antara Kota Tinggi dan Johor Bahru dibaiki serentak hingga menimbulkan kesulitan dalam kalangan pengguna jalan raya. FOTO IHSAN PEMBACA
Mary Victoria Dass


Ulu Tiram: Pengguna jalan raya yang menggunakan laluan Kota Tinggi ke Johor Bahru terpaksa menempuhi kesesakan lalu-lintas lebih dua jam sejak beberapa hari lalu akibat kerja pembaikan laluan dijalankan di jalan utama mahupun alternatif.

Pengguna jalan raya, Kamarul Ariffin Nor Sadan berkata, dia difahamkan, pembaikan jalan diadakan antara laluan Kota Tinggi ke Johor Bahru mulai 30 Oktober hingga 4 November ini dan ia menimbulkan kesesakan dari Ulu Tiram hingga ke Saujana, Kota Tinggi.

Menurutnya, penduduk mendapati, laluan alternatif dari Pelangi Indah menerusi Taman Gaya bertemu Jalan Kota Tinggi-Johor Bahru turut dibaiki pada waktu yang sama.

"Ini saya tidak berapa faham, jika jalan utama dibaiki dan jalan alternatif turut dibaiki serentak, apa pilihan yang ada pada pengguna jalan raya.

"Kesesakan ini membabitkan laluan di dalam kawasan perumahan kerana masing-masing cuba mencari laluan alternatif yang lain.

"Ramai mengadu terpaksa batal kerja kerana tiba di tempat kerja hampir jam 12 tengah hari. Malah guru, murid dan pelajar tiba di sekolah lewat, selain pesakit terlepas temu janji hospital," katanya.

Kamarul Arifin berkata, sekiranya keadaan ini berterusan atau berulang pada masa depan, mungkin akan ada yang hilang punca pendapatan selain diambil tindakan oleh majikan.

"Bayangkan sekiranya ibu bapa keluar awal, hantar anak di sekolah lebih awal, siapa akan jaga mereka di sekolah sebelum pagar sekolah dibuka.

"Ibu bapa juga tidak dapat menunggu anak-anak di sekolah berikutan mereka perlu tiba ke tempat kerja tepat pada masa," katanya menerusi perkongsiannya di laman sosial Facebook (FB) di sini, semalam.

"Apa yang membuatkan saya kecewa adalah, situasi ini bukan pertama kali berlaku kerana warga Pasir Gudang dan Masai sudah menghadapi masalah sama sebelum ini.

"Mengapa kerja penambahbaikan jalan di Ulu Tiram ini tidak ada perancangan yang lebih baik, agar tidak berlaku situasi yang sama di Lebuhraya Pasir Gudang," katanya lagi.

Sementara itu, pesakit buah pinggang, K Pavaneswaran, 47, berkata, kesesakan itu mengakibatkannya terlepas slot rawatan dialisis, Selasa lalu.

"Saya faham, pembaikan jalan ini bukan untuk tempoh masa panjang. Namun, sekiranya ia dirancang dengan baik, masalah kesesakan dapat dielakkan.

"Mungkin kontraktor juga perlu diletakkan syarat supaya sesebuah laluan dipasang penutup atau kepingan keluli buat sementara bagi memastikan orang ramai dan kenderaan boleh menggunakan laluan dengan selamat.

"Ini berikutan, laluan yang ditinggal selepas dikorek atas faktor teknikal masih boleh digunakan sekiranya dialas dengan kepingan keluli itu.

"Ada kalanya, kami dapati, laluan juga ditutup semata-mata bagi meletakkan jentera yang digunakan bagi kerja pembaikan jalan, ia juga seharusnya dielak," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi memohon maaf atas kesulitan dialami pengguna jalan raya yang berkongsi keluhan.

"Saya sudah meminta EXCO dan Jabatan Kerja Raya (JKR) membantu," katanya yang membalas komen penduduk terjejas.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 3:55 PM